Steven Sim merasmikan Program Jualan MADANI KUSKOP @ Padang Lalang di Taman Makok, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Lebih banyak dana pembiayaan serta usaha mengurangkan kos menjalankan perniagaan antara perkara yang diberi perhatian Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dalam persediaan menghadapi Belanjawan 2027.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, perkara itu menjadi antara fokus utama kementerian dalam sesi libat urus bersama pemegang taruh yang sedang berlangsung sebelum cadangan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.

Menurutnya, sesi berkenaan melibatkan pandangan daripada syarikat, persatuan usahawan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi.

“Fokus Kuskop ialah menyediakan dana yang lebih banyak untuk perniagaan rakyat Malaysia.

“Selain itu, kita mahu kos yang lebih rendah untuk menjalankan bisnes serta kecekapan lebih tinggi khususnya dari aspek penyampaian kerajaan dan produktiviti industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jualan MADANI KUSKOP @ Padang Lalang di Taman Makok di sini, hari ini.

Pada program itu, sebanyak 80 jenis barangan dijual pada harga diskaun antara 20 hingga 30 peratus yang menjadi salah satu usaha membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat selain menyediakan platform perniagaan kepada koperasi.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Gooi Zi Sen.

Steven Sim berkata, Kuskop turut memberi tumpuan kepada dasar yang dapat meningkatkan produktiviti PMKS selain membantu perniagaan tempatan mendapatkan penyertaan lebih besar dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

Katanya, semua cadangan yang dikumpulkan akan berpandukan kerangka ABCD iaitu anjakan produktiviti, birokrasi dipermudahkan, capaian modal dan daya akses pasaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast