KUALA LUMPUR – Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) memaklumkan Cuti Peristiwa Negeri Sembilan yang diisytiharkan pada Isnin, 3 Ogos 2026, tidak wajib diberikan kepada pekerja sektor swasta.
Menurut jabatan itu, pengisytiharan cuti berkenaan dibuat oleh Kerajaan Negeri Sembilan selaras dengan Subseksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369], yang membolehkan pihak berkuasa negeri mengisytiharkan mana-mana hari sebagai hari kelepasan am bagi negeri berkenaan.
Menurut JTKSM, cuti itu dikategorikan sebagai hari kelepasan am pilihan dan bukan hari kelepasan yang wajib diberikan kepada pekerja sektor swasta.
Bagaimanapun, jika majikan di Negeri Sembilan memilih untuk mengiktiraf Cuti Peristiwa Negeri Sembilan sebagai hari kelepasan am syarikat, mereka hendaklah memberikan hari kelepasan am bergaji kepada pekerja pada 3 Ogos 2026.
JTKSM turut menjelaskan, majikan boleh, dengan persetujuan pekerja, menggantikan cuti tersebut kepada hari lain seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 60D(1A) Akta Kerja 1955.
Kerajaan Negeri Sembilan hari ini mengisytiharkan 3 Ogos 2026 sebagai Cuti Peristiwa selepas selesai melaksanakan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang berakhir semalam. – MalaysiaGazette
















