TEHRAN – Agensi berita Mehr menafikan dakwaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bahawa Iran telah meminta Washington supaya tidak melancarkan serangan baharu terhadap republik Islam itu.
Memetik pegawai tentera Iran, agensi berkenaan menyifatkan dakwaan itu sebagai “satu lagi pembohongan” dan menegaskan angkatan bersenjata Iran berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Pada hari Sabtu, Trump berkata, Amerika Syarikat “bersedia untuk bertindak terhadap Republik Islam Iran”, namun mendakwa Tehran dan beberapa negara lain di Asia Barat telah memintanya supaya menangguhkan serangan baharu.
Menurut Trump, beliau bersedia berbuat demikian dengan syarat satu perjanjian dapat dicapai bersama Iran.
“Dalam perjanjian itu termasuk pembukaan segera, sepenuhnya dan tanpa syarat Selat Hormuz, serta penamatan ancaman nuklear Iran,” tulis Trump menerusi hantaran di platform Truth Social.
Sementara itu, agensi berita Fars yang memetik sumber rapat dengan pasukan perunding Iran melaporkan bahawa “selagi Amerika Syarikat meneruskan tindakan bermusuhan, Selat Hormuz akan terus ditutup”.
Iran telah menyekat laluan Selat Hormuz sejak bermulanya konflik, dengan semua kapal dikehendaki mendapatkan kebenaran serta membayar caj transit sebelum dibenarkan melalui laluan perairan strategik itu. – Agensi
















