Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh Datuk Ismail Lasim mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah. Foto MOHD ADZLAN, 02 OGOS 2026.

SERI MENANTI – Institusi Raja Berperlembagaan akan terus menjadi tunjang pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan selain berusaha mengurangkan konflik politik bagi memastikan kestabilan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, mendukung dan menjunjung institusi diraja bukan sekadar tanggungjawab kerajaan negeri malah menjadi kewajipan setiap pemimpin dalam memastikan sistem Raja Berperlembagaan terus dihormati.

“Sokongan kepada institusi diraja adalah satu kewajipan. Kita perlu memahami asas kesejahteraan negeri, memuliakan institusi Diraja dan mencari jalan yang paling sesuai untuk mengurangkan konflik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di Seri Menanti Resort hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bercakap kepada media selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Seri Menanti Resort, Kuala Pilah. Foto MOHD ADZLAN, 02 OGOS 2026.

Menurut Ismail, pentadbiran negeri akan sentiasa berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta menghormati peranan institusi diraja dalam urusan pentadbiran negeri.

Beliau berkata, sebelum pembentukan kerajaan negeri dimuktamadkan, beliau telah mempersembahkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bahawa perbincangan akan diadakan bersama pimpinan parti berhubung pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Katanya, Tuanku Muhriz turut mempunyai pandangan berhubung perkara itu dan menggalakkan supaya proses pembentukan kerajaan negeri disegerakan mengikut saluran yang sewajarnya.

“Baginda menggalakkan supaya perbincangan dibuat segera dan kita akan mengambil kira semua pandangan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan,” katanya lagi.

Menurut beliau, pendekatan berunding dan saling menghormati itu penting bagi memastikan pentadbiran negeri dapat bergerak dengan lancar tanpa menjejaskan kepentingan rakyat.

Tambah Ismail, kerajaan negeri juga akan terus mengamalkan pendekatan sederhana dan mengutamakan kestabilan politik supaya segala dasar serta agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau berkata, setiap keputusan yang dibuat selepas ini akan mengambil kira kepentingan rakyat selain memastikan hubungan baik antara kerajaan negeri dan institusi diraja terus diperkukuhkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast