SEREMBAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak supaya menghormati proses peralihan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan dan tidak tergesa-gesa mendesak menteri besar terdahulu mengosongkan kediaman rasmi.
Beliau berkata, kerajaan baharu perlu menunjukkan nilai kemanusiaan serta memberi ruang sewajarnya kepada pentadbiran terdahulu untuk menguruskan proses perpindahan secara berhemah.
“Tidak sepatutnya berlaku begitu. Beri masa walaupun mungkin kerajaan baharu akan mengangkat sumpah.
“Mereka semua sahabat-sahabat kita dan kita mesti ada rasa kemanusiaan serta tata etika,” katanya kepada pemberita di sini, malam ini.
Terdahulu Ahmad Zahid menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir hampir dua jam setengah di Istana Hinggap Negeri Sembilan di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan terdapat desakan supaya kediaman rasmi menteri besar dikosongkan pada malam sama.
Zahid menegaskan, budaya politik matang perlu diamalkan demi menjaga keharmonian selepas pilihan raya. – MalaysiaGazette
















