Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – DAP mengakui kekalahan parti itu di Dewan Undangan Negeri Chennah dan Repah merupakan satu pengalaman yang amat sukar dan pahit buat mereka.

Namun, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP,  Nga Kor Ming berkata, parti itu menghormati keputusan rakyat dan menerima kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan penuh rendah hati sebagai tanda menghormati amalan demokrasi.

Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) tidak akan berputus asa, sebaliknya akan bermunasabah dan melakukan penilaian secara mendalam supaya mencari jalan mencapai kemenangan di Negeri Sembilan pada masa depan.

Kor Ming berkata, Anthony Loke telah menunjukkan kepimpinan yang penuh bertanggungjawab selaku Setiausaha Agung DAP.

Malah, katanya, Anthony telah menjalankan amanah dengan dedikasi penuh serta berjuang bersama seluruh jentera DAP Negeri Sembilan sehingga ke saat-saat yang terakhir.

“Dalam saat yang penuh mencabar ini, kami berdiri teguh bersama Anthony Loke yang kalah di Dewan Undangan Negeri Chennah.

“Kami akan terus berpegang teguh pada perjuangan, mengharungi segala cabaran bersama serta melangkah ke hadapan dengan penuh keazaman sebagai satu pasukan,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

DAP, jelasnya, bersama Pakatan Harapan akan terus berkhidmat utk rakyat dengan penuh komited dan berusaha meraih semula keyakinan dan sokongan rakyat melalui prestasi bekerja dan rekod perkhidmatan demi rakyat dan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast