MELAKA – Barisan Nasional (BN) Melaka memperkenalkan formula BN Plus yang membuka ruang rundingan dengan mana-mana parti politik untuk memberi kelebihan kepada gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, formula berkenaan akan dinilai berdasarkan kepentingan dan kekuatan setiap pihak, namun sebarang rundingan tidak semestinya berakhir dengan kerjasama rasmi.
Menurutnya, kejayaan BN mempertahankan kemenangan pada PRN Johor sebelum ini dan merampas Negeri Sembilan pada PRN semalam hasil persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) menjadi pemangkin semangat untuk dibawa ke Melaka.
“Selepas Pilihan Raya Johor, kemudian Pilihan Raya Negeri Sembilan semalam, pastinya ia menyemarakkan semangat untuk membawa momentum itu ke Negeri Melaka pada pilihan raya akan datang.
“Tarikhnya belum tahu lagi, tapi kalau tanya saya, orang Melaka kata, ‘dua tiga kucing berlari, mana nak sama si kucing belang, BN dah menang dua negeri, takkan Melaka tak ambil peluang?
“Melaka bersedia dalam apa juga bentuk gabungan (yang) kiita panggil BN Plus,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat (MeSRa) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalannya Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Ditanya sama ada BN Plus merupakan penjenamaan baharu bagi gabungan politik di Melaka, Ab Rauf berkata, ia terpulang kepada pemberita untuk menilai pendekatan itu.
“Siapa juga boleh datang berunding (BN Plus) tetapi runding tidak semestinya berakhir dengan perjanjian ataupun persetujuan, ia bergantung kepada kelebihan masing-masing.
“Kita tidak terikat dalam mana-mana ikatan yang belum dijadikan secara formal sebagai gabungan yang muktamad. Tetapi saya terbuka kepada semua orang untuk datang berunding dengan saya,” katanya.
Keputusan PRN Negeri Sembilan semalam menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya memperoleh 18 kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat tujuh kerusi.
Ia sekali gus membolehkan dua gabungan ‘Gelombang Biru’ itu meraih 25 daripada 36 kerusi dan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga. – MalaysiaGazette
















