KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu dua suspek termasuk seorang pelajar sekolah yang disyaki terlibat dalam pergaduhan di lokasi awam di Klang Selatan, dekat sini susulan video mengenai kejadian itu tular dalam laman sosial.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, video yang tular dalam Facebook itu memaparkan aksi dua individu bergaduh sambil ditonton sekumpulan yang lain.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 petang di kawasan parkir Kompleks Sukan Pandamaran, Jumaat lalu.
“Seorang individu adalah pelajar sekolah berusia 16 tahun, manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti, punca kejadian dalam siasatan,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Polis memohon kerjasama orang ramai untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohammad Baaz Mohd. Zohari di talian 016-4117885 atau hubungi Bilik Gerakan IPD Klang Selatan di talian 03-33762222. – MalaysiaGazette
















