Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim beramah mesra bersama penyokong yang hadir selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Seri Menanti Resort, Kuala Pilah. Foto MOHD ADZLAN, 02 OGOS 2026.

SERI MENANTI – Menteri Besar Negeri Sembilan yanag baharu, Datuk Ismail Lasim  tidak mahu pentadbirannya diukur berdasarkan pencapaian 100 hari pertama.

Sebaliknya menekankan setiap hari adalah penting dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan kerajaan negeri.

Beliau berkata, tiada tempoh tertentu yang boleh dijadikan penanda aras untuk membuktikan komitmen sesebuah kerajaan kerana amanah mentadbir perlu dilaksanakan secara berterusan sejak hari pertama memegang jawatan.

“Janganlah cakap 100 hari pertama, 200 hari pertama pentadbiran. Pada saya, setiap hari itu penting untuk kesejahteraan rakyat dan itulah keutamaan kami sebagai Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di Seri Menanti Resort hari ini.

Menurut Ismail, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada pelbagai isu yang dihadapi rakyat dan berusaha mencari penyelesaian secepat mungkin tanpa menunggu tempoh tertentu.

Katanya, setiap dasar dan keputusan yang dibuat pentadbiran negeri selepas ini akan berlandaskan kepentingan rakyat serta memberi manfaat kepada seluruh masyarakat di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu diterjemahkan melalui tindakan dan perkhidmatan yang berkesan, bukannya sekadar sasaran jangka pendek.

“Yang penting ialah rakyat dapat merasai manfaat daripada pentadbiran kerajaan. Itu yang menjadi fokus kami,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, kerajaan negeri juga akan meneliti setiap isu yang dibangkitkan rakyat sebelum menentukan keutamaan tindakan mengikut keperluan semasa.

Beliau berkata, pentadbiran baharu tidak mahu terburu-buru membuat keputusan, sebaliknya memastikan setiap langkah yang diambil mampu memberi impak jangka panjang kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Pada masa sama, beliau berharap semua pihak dapat bersama-sama memberikan ruang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan oleh rakyat.

Terdahulu, Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir susulan pembentukan kerajaan negeri baharu hasil keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast