Kru syarikat WestJet melancarkan mogok.

 

TORONTO – Kru WestJet, syarikat penerbangan kedua terbesar di Kanada, melancarkan mogok pada hari Ahad susulan pertikaian mengenai gaji.

Kesatuan Canadian Union of Public Employees (CUPE), yang mewakili 4,400 kru kabin syarikat itu mengumumkan mogok tersebut menerusi laman Facebook rasminya.

WestJet yang mengesahkan tindakan mogok itu telah membatalkan lebih 300 penerbangan setakat awal Ahad, sekali gus mengganggu rancangan perjalanan di seluruh Kanada ketika cuti hujung minggu selama tiga hari.

Isu utama dalam pertikaian itu ialah kaedah pembayaran gaji bagi tugas yang dilakukan pramugari ketika pesawat masih berada di darat.

Kesatuan mendakwa sebahagian kerja tersebut tidak dibayar, manakala syarikat menegaskan kakitangannya menerima bayaran menerusi sistem “credit hour” (jam kredit) dan bukannya kadar bayaran mengikut jam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WestJet, Alexis von Hoensbroech berkata, syarikat penerbangan tersebut telah mengemukakan cadangan yang akan menetapkan standard baharu bagi kru kabin di Kanada.

“Kami menawarkan kadar bayaran mengikut jam yang meliputi semua masa sebelum dan selepas penerbangan, selain kenaikan gaji dua digit pada tahun pertama serta beberapa tuntutan lain yang dibangkitkan oleh kesatuan. Malangnya, cadangan itu tidak diterima,” katanya.

Presiden cawangan kesatuan yang mewakili kru kabin, Alia Hussain pula berkata, pihaknya telah berunding sehingga saat akhir untuk mendapatkan perjanjian yang adil dan mengiktiraf nilai kerja kru kabin.

“Tawaran WestJet masih belum memadai,” katanya.

Kedua-dua pihak memaklumkan mereka bersedia menyambung semula rundingan bagi mencapai persetujuan.

WestJet berkata, ia tidak dapat mengendalikan semua penerbangan berjadual menggunakan pesawat Boeing 737 dan Boeing 787 dan pnumpang yang terjejas akan menerima bayaran balik atau ditawarkan penerbangan alternatif.

Syarikat itu akan menghubungi pelanggan yang membuat tempahan terus melalui e-mel, manakala mereka yang menempah melalui ejen pelancongan atau platform pihak ketiga diminta menghubungi penyedia perkhidmatan masing-masing.

Bagaimanapun, penerbangan WestJet Encore yang menggunakan pesawat Q400, serta penerbangan perkongsian kod (code-share) yang dikendalikan syarikat penerbangan rakan kongsi, tidak terjejas.

Musim panas lalu, kru Air Canada, syarikat penerbangan terbesar negara itu juga melancarkan mogok yang menyebabkan lebih 100,000 penumpang terkandas pada musim kemuncak perjalanan.

Mogok itu, yang sebahagiannya berpunca daripada isu pembayaran kerja di darat yang sama, berakhir selepas tiga hari apabila kedua-dua pihak mencapai persetujuan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast