KULAI – Polis menahan dua lelaki kerana melibas parang ke arah kenderaan lain selepas tidak berpuas hati ‘diberi’ lampu tinggi kerana memotong secara berbahaya dalam kejadian di jambatan bertingkat Senai menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, dua lelaki berkenaan yang berusia 26 dan 30 tahun itu ditahan di Forest City, Gelang Patah pada hari yang sama.
Dua suspek itu ditahan selepas siasatan dibuat sebaik menerima laporan polis pada pukul 8.04 pagi, semalam.
“Siasatan awal mendapati kejadian memandu secara berbahaya dan ugutan menggunakan senjata itu berlaku pukul 5.50 pagi semalam di jambatan bertingkat itu.
“Ia berpunca akibat rasa tidak puas hati suspek selepas pengadu memberikan lampu tinggi secara berterusan berikutan tindakannya yang memotong masuk ke lorong kanan secara mengejut dengan kelajuan perlahan sehingga hampir melanggar kereta pengadu,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Seng Lee berkata, kejadian membabitkan empat lelaki yang menaiki kereta jenis Kia dengan nombor pendaftaran PMD 5686.
Menurut beliau, ketika berada di jambatan bertingkat Senai itu, suspek bertindak memotong kereta pengadu sebelum berhenti secara mengejut di hadapan kenderaan pengadu.
Katanya, seorang daripada suspek kemudian keluar kenderaan sambil membawa parang serta menjerit dan mengarahkan pengadu keluar dari kereta.
Suspek turut melibas parang ke bahagian hadapan bonet kereta pengadu sehingga menyebabkan kesan cat terkopek, ujar beliau lagi.
Seng Lee berkata, bertindak atas maklumat, pukul 7.10 malam hari yang sama, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Risikan/Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai membuat tangkapan ke atas dua daripada empat lelaki berkenaan.
Polis turut merampas kunci kereta Kia, telefon bimbit, baju t-shirt warna putih, seluar jeans panjang warna hitam, topi warna hitam, parang berserta hulu warna hitam berukuran 30 sentimeter dan sarung parang panjang warna hitam yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
“Bagaimanapun, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka negatif daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.
Tambah Seng Lee, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengesan individu lain yang terlibat.
Ujarnya, permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dipohon hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 506, Seksyen 427 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.
Pada masa sama, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu untuk menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor R Harinnath di talian 017-5005731 atau menghubungi talian IPD Kulai, 07-6637222 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette
















