TOKYO – Harga minyak menjunam pada awal dagangan Asia pada hari Isnin selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan rundingan baharu dengan Iran bagi menamatkan perang di Timur Tengah dan membuka semula Selat Hormuz.
Perang yang bermula pada penghujung Februari apabila Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran telah menyebabkan harga minyak turun naik dengan ketara kerana konflik itu secara berkesan menutup laluan perairan tersebut, yang merupakan laluan penting bagi bekalan minyak dan gas dunia.
Pada kira-kira pukul 10.50 malam GMT pada hari Ahad, harga minyak mentah Brent Laut Utara, penanda aras antarabangsa bagi kontrak minyak untuk penghantaran September, susut 4.69 peratus kepada AS$83.81 setong.
Sementara itu, penanda aras Amerika Syarikat, West Texas Intermediate (WTI), turut merosot 4.67 peratus kepada AS$80.72 setong.
Trump berkata, rundingan baharu dengan Iran akan bermula pada hari Isnin selepas beliau menangguhkan serangan besar terhadap republik Islam itu bagi memberi peluang kepada penyelesaian melalui rundingan.
“Apa yang kami lakukan sekarang ialah berbincang dengan mereka melalui proses rundingan. Ia akan bermula esok petang,” katanya tanpa memberikan butiran lanjut mengenai lokasi atau pihak yang akan menyertai rundingan tersebut.
Beberapa jam selepas Amerika Syarikat membatalkan rancangan serangan besar, Iran pada hari Ahad berkata, ia hampir mencapai persetujuan dengan Oman mengenai laluan baharu melalui Selat Hormuz. – Agensi
















