Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim menerima watikah pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu daripada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah. Foto MOHD ADZLAN, 02 OGOS 2026. (Gambar fail)

BELUM pun genap 24 jam, Datuk Ismail Lasim mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan ke-9, landskap politik negeri itu kembali bergelora apabila beberapa perkembangan berlaku berturut-turut sehingga mencetuskan pelbagai persoalan.

Perhatian pada mulanya tertumpu kepada ketidakhadiran Pengerusi UMNO Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar di Istana Besar Seri Menanti semalam.

Jalaluddin kemudiannya menjelaskan beliau mempunyai komitmen lain yang telah dijadualkan lebih awal.

Dalam sidang media selepas istiadat itu, Ismail pula menafikan wujud sebarang krisis susulan ketidakhadiran beberapa wakil rakyat dan menjelaskan jemputan kepada semua ADUN telah dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri namun terdapat kemungkinan ada yang mempunyai komitmen lain berikutan notis diterima dalam tempoh yang singkat.

Bagaimanapun, perhatian politik Negeri Sembilan tidak terhenti di situ.

Kurang 24 jam selepas Ismail mengangkat sumpah, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap bekas Menteri Kabinet dan Pengerusi Parti Wawasan Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim tampil menerusi satu rakaman video tular di media sosial dengan membangkitkan beberapa persoalan mengenai proses pelantikan menteri besar baharu itu.

Rais mempersoalkan pertemuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebelum pelantikan dibuat selain membangkitkan persoalan sama ada berlaku campur tangan ‘orang luar’ dalam urusan adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan.

Menurut beliau, adat Negeri Sembilan tidak seharusnya dipengaruhi pihak luar dan beliau turut mempersoalkan bagaimana seorang calon yang disifatkannya sebagai ‘tidak disangka-sangka’ akhirnya diperkenankan sebagai menteri besar.

Tan Sri Rais Yatim

Beliau juga membangkitkan persoalan sama ada institusi Undang Yang Empat diberikan pertimbangan sewajarnya selain menyifatkan terdapat pemimpin tertentu yang banyak berkorban dalam usaha membawa kepada perubahan kerajaan negeri namun tidak menerima penghargaan yang sewajarnya.

Antara kenyataan Rais yang paling mendapat perhatian ialah apabila beliau berkata, “Seharusnya keadaan dalam Negeri Sembilan dari segi adatnya orang luar tidak boleh campur tetapi ini sudah berlaku,” sambil mengingatkan adat Negeri Sembilan perlu terus dipelihara.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan berdasarkan sumber tertinggi UMNO bahawa Ahmad Zahid telah mempersembahkan tiga nama kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bagi pertimbangan jawatan Menteri Besar iaitu  Jalaluddin; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua UMNO Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim.

Jalaluddin Alias

Daripada tiga nama yang dipersembahkan itu, Tuanku Muhriz akhirnya memperkenankan pelantikan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan ke-9.

Perkembangan itu turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pemerhati politik memandangkan Jalaluddin sebelum ini dilihat memainkan peranan penting dalam perubahan landskap politik Negeri Sembilan sehingga BN dan Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan negeri.

Manakala Mohamad Hasan pula merupakan tokoh kanan UMNO serta bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang mentadbir negeri itu selama tiga penggal.

Bagaimanapun, sehingga kini, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada Istana Seri Menanti mahupun kepimpinan UMNO yang menjelaskan pertimbangan di sebalik pemilihan Ismail memandangkan pelantikan menteri besar merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Besar mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Pada masa sama, dakwaan yang dibangkitkan Rais tidak disertakan dengan bukti atau pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak yang terlibat manakala Jalaluddin sendiri tidak pernah mengaitkan ketidakhadirannya pada istiadat angkat sumpah dengan proses pemilihan menteri besar.

Namun daripada sudut politik, persepsi sering kali menjadi sama penting dengan realiti.

Ketidakhadiran Jalaluddin pada istiadat angkat sumpah disusuli kenyataan terbuka seorang tokoh veteran seperti Rais yang sinonim dengan politik serta adat Negeri Sembilan sudah cukup untuk menghidupkan pelbagai spekulasi mengenai dinamika dalaman selepas BN dan PN berjaya mengambilalih pentadbiran negeri daripada Pakatan Harapan (PH) yang memerintah sejak 2018.

Apa yang pasti, cabaran pertama Ismail bukan sekadar membentuk barisan pentadbiran baharu malah memastikan semua pihak berada di bawah satu saf selepas persaingan di belakang tabir berakhir.

Jika isu itu berjaya diredakan dengan baik, ia mungkin hanya menjadi episod biasa selepas pembentukan kerajaan baharu.

Namun sekiranya kenyataan demi kenyataan terus muncul daripada tokoh-tokoh berpengaruh, tidak mustahil gelora politik yang mula dirasai ini akan menjadi ujian awal kepada kepimpinan Ismail sebelum beliau sempat memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda pentadbiran dan kebajikan rakyat Negeri Sembilan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.