Tertuduh, Syed Muhammad Izzat Aiman Syed Ahmad (tengah) diiringi ibunya keluar daripada Mahkamah Majistret Pekan selepas pertuduhan dibacakan.

 

PEKAN – Seorang juruteknik mengaku tidak bersalah memandu secara melulu sehingga mengakibatkan tiga kematian dalam kemalangan pada bulan Jun lepas.

Syed Muhammad Izzat Aiman Syed Ahmad, 31 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Melody Woon Sze Moon di Mahkamah Majistret Pekan, di sini hari ini.

Tertuduh yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat membekalkan barangan perladangan dan penternakan itu didakwa memandu sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax dengan melulu di kilometer 67 Jalan Kuantan-Segamat, di sini pada 19 Jun kira-kira 5.30 petang.

Tindakannya itu didakwa menyebabkan kematian kepada Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33; Dhea Sofia Mohamad Zekry Zuhairy, 2 dan Azaharuddin Mohd Ali, 46.

Pertuduhan ke atas tertuduh dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamisah Ismail dan tertuduh diwakili Peguam Muhamad Izwan Ishak.

Kamisah memohon wang ikat jamin sebanyak RM15,000 dikenakan terhadap tertuduh, namun Muhamad Izwan menjelaskan anak guamnya perlu menanggung seorang isteri yang sedang hamil tiga bulan dengan pendapatan bulanan anggaran sekitar RM1,500.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu lesen memandu digantung sehingga perbicaraan selesai.

Selain itu, Syed Muhammad Izzat Aiman juga diperintahkan melapor diri di Balai Polis Muadzam Shah sebulan sekali sehingga perbicaraan selesai.

Majistret Melody kemudian menetapkan tarikh 18 September depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Doktor, bayi, pegawai kanan LHDN maut dalam nahas tiga kenderaan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast