Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berucap pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP, Jalan Yew, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 03 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke malam ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan selepas gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah.

Beliau berkata, tindakan itu diambil setelah menjawatnya selama 22 tahun.

“Sejak tahun 2004 sehingga sekarang, selama 22 tahun.

“Sekarang, tiba masanya untuk saya berundur sebagai pengerusi negeri dan menyerahkan kepada pimpinan negeri ataupun Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan untuk melantik dan memilih seorang daripada AJK sedia ada untuk menjadi pengerusi negeri,” katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat CEC malam ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu adalah Penasihat DAP, Lim Guan Eng; Pengerusi DAP Kebangsaan Gobind Singh Deo; Setiausaha Organisasi Kebangsaan: Koo Poay Tiong; Naib Pengerusi Kebangsaan: Syahredzan Johan dan Arul Kumar Jambunathan.

Anthony berkata, satu mesyuarat khas akan dibuat dalam minggu ini bagi melantik pengerusi negeri yang baharu.

“Dalam sistem kita, jawatan ini dipilih dalam kalangan ahli-ahli jawatankuasa negeri. Sama juga, jawatan dalam pusat dipilih antara ahli-ahli jawatankuasa CEC.

“Sesiapa sahaja dalam ahli jawatankuasa negeri boleh dilantik sebagai pengerusi negeri dan saya akan memanggil satu mesyuarat dalam masa beberapa hari ini supaya jawatankuasa negeri DAP Negeri Sembilan boleh dirombak semula dan memilih seorang pemimpin baru menjadi Pengerusi DAP Negeri Sembilan,” katanya lagi.

Beliau berkata, walaupun ramai yang telah menyatakan sokongan dan DAP berjaya memenangi sembilan daripada 11 kerusi tetapi ia dirasakan masa yang paling sesuai untuk seorang pengerusi negeri baru dilantik.

“Selepas saya memegang jawatan ini selama 22 tahun, saya berasa bangga bahawa DAP Negeri Sembilan sekarang ini masih kukuh.

“Semasa saya memulakan tugas saya sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan pada ketika itu, kita baru memenangi dua kerusi, sebelum itu tak menang apa-apa.

“Kita membina parti semenjak itu sehingga kekuatan pada hari ini.

“Jadi sekarang tiba masa saya untuk menyerahkan pucuk pimpinan negeri kepada orang lain dan ini adalah keputusan peribadi saya, tanpa apa-apa tekanan daripada mana-mana pihak tetapi saya rasa terpanggil bahawa ini adalah masa yang terbaik untuk menyerahkan jawatan ini kepada pemimpin lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast