KUANTAN – Ketua Pemuda UMNO Maran, Mohd Radzi Rahimi atau lebih dikenali sebagai Edy Radzi bersama isteri, seorang anak serta adik iparnya dikatakan mangsa yang maut selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Bentong tengah hari tadi.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan berita terbabit.
“Ya. Betul (saudara Edy terbabit). Dan saya pun sekarang dalam perjalanan ke HosHAS (Hospital Sultan Haji Ahmad Shah),” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Bentong, Asisten Komisioner Zaiham Mohd Kahar berkata, empat daripada penumpang Ford Raptor terbabit meninggal dunia di lokasi kejadian apabila kenderaan itu dihempap sebatang pokok tumbang kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku di Jalan Lama Kuala Lumpur menuju ke Janda Baik, Bentong.
“Difahamkan terdapat lima individu dalam kenderaan. Pemandu iaitu lelaki berusia 35 tahun, penumpang hadapan, wanita berusia 36 tahun bersama kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipangkunya dan penumpang belakang iaitu lelaki berusia 40 tahun disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita.
Tambahnya, seorang lagi penumpang tempat duduk belakang iaitu kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dilaporkan cedera dan dihantar ke Hospital Bentong untuk diberikan rawatan.
Zaiham berkata, berdasarkan maklumat pengenalan diri yang ditemui, keempat-empat penumpang kenderaan terbabit mempunyai pertalian kekeluargaan di mana kedua-dua kanak-kanak lelaki terbabit dipercayai pasangan kembar.
Jelas Zaiham, kesemua mayat telah dihantar ke HosHAS, Temerloh bagi tujuan bedah siasatan yang dijangka bermula jam 8 malam ini. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















