Perodua Axia

 

KUALA LUMPUR – Perodua mengumumkan pengurangan harga bagi model Axia, kenderaan kompak paling mampu milik di negara ini, sehingga RM4,700 berkuat kuasa serta-merta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pengurangan harga itu dibuat berikutan peningkatan berterusan dalam kecekapan operasi syarikat, selain usahanya mengukuhkan komitmen dalam membantu
pelanggan menghadapi persekitaran ekonomi yang kian mencabar.

“Harga baharu ini adalah antara usaha berterusan kami untuk mengurangkan tekanan kos yang dihadapi rakyat Malaysia.

“Langkah ini juga mencerminkan usaha kami untuk terus menambah baik kecekapan operasi, yang mana sebelum ini telah terbukti menerusi pengurangan kos servis dan pengurangan harga QV-E dan pakej Battery as a Service yang ditawarkan,” katanya hari ini.

Di Semenanjung Malaysia, harga baharu Axia 1.0G diturunkan daripada RM38,600 kepada RM33,900, iaitu pengurangan sebanyak RM4,700.

Model Axia 1.0X pula kini berharga RM38,500 berbanding RM40,000 sebelum ini, manakala Axia 1.0SE dikurangkan daripada RM44,000 kepada RM43,000 dan varian tertinggi Axia 1.0AV, harganya disemak semula daripada RM49,500 kepada RM49,000.

Bagi pasaran Sabah dan Sarawak, Axia 1.0G kini dijual pada harga RM35,900 berbanding RM40,600 sebelum ini. Axia 1.0X pula ditawarkan pada harga RM40,500, turun daripada RM42,000, sementara Axia 1.0SE dikurangkan kepada RM45,000 daripada RM46,000. Model Axia 1.0AV pula kini berharga RM51,000 berbanding RM51,500 sebelum ini.

Katanya, semua spesifikasi dan standard kualiti Perodua Axia kekal tidak berubah dan penjimatan yang diperoleh adalah sepenuhnya daripada penambahbaikan proses dan kecekapan operasi.

“Pengurangan harga yang dibuat ini adalah hasil daripada inisiatif penambahbaikan yang berterusan dan mampan serta kerjasama baik dengan pembekal dan rakan kongsi kami dalam ekosistem automotif.

“Kami berterima kasih kepada pembekal dan pengedar kami di atas kerjasama dalam menambah baik kecekapan kos untuk manfaat bersama bukan sahaja pemain industry tetapi juga seluruh rakyat Malaysia,” kata Zainal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast