Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

 

SHAH ALAM — Kewujudan ‘tali barut’ dalam kalangan rakyat tempatan yang melindungi dan bersekongkol dengan pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk etnik Rohingya menjadi antara cabaran terbesar kerajaan Selangor dalam membanteras penempatan haram serta aktiviti warga asing di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, terdapat segelintir rakyat tempatan yang bukan sahaja bersimpati dengan golongan berkenaan, malah membantu mereka dengan membeli barangan, menyewakan premis dan tanah serta menjual lesen perniagaan sehingga menyukarkan tindakan penguatkuasaan.

Menurut beliau, situasi itu menyebabkan operasi yang dijalankan pihak berkuasa sering berdepan tentangan daripada penduduk tempatan yang mempertahankan kehadiran PATI.

“Sebahagian komuniti kita bekerjasama dengan mereka. Di kawasan saya (Sungai Tua, Gombak), setiap kali operasi dijalankan di kawasan pasar, ada peniaga tempatan yang membantah.

“Ada elemen tempatan yang mempertahan dan melindungi mereka. Inilah cabaran terbesar. Penguatkuasaan bukan sahaja perlu dikenakan terhadap PATI, tetapi juga kepada individu tempatan yang bersekongkol serta mengambil kesempatan atas keterdesakan mereka untuk tinggal dan mencari rezeki di sini,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Johan Abd. Aziz (BN-Dusun Tua) berhubung isu kebanjiran PATI dan etnik Rohingya di Selangor.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata, terdapat kemungkinan wujud rangkaian tertentu yang membiayai atau menyokong aktiviti PATI berdasarkan kemampuan mereka menjelaskan saman yang dikenakan.

“Saman itu mereka boleh bayar. Tidak mungkin golongan pelarian mampu membayar saman yang besar. Saya percaya mungkin ada rangkaian di belakang yang menyokong mereka,” katanya sambil menggesa maklumat disalurkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri tidak pernah membenarkan PATI memiliki aset atau mendapatkan lesen perniagaan, namun mengakui ada kes membabitkan mereka yang menyewa tanah atau premis milik rakyat tempatan.

Katanya lagi, tindakan turut diambil terhadap pemilik tanah dengan mengarahkan kawasan berkenaan dipulihkan mengikut status asal, namun terdapat kes struktur yang dirobohkan dibina semula sehingga menyukarkan penguatkuasaan.

Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri perlu mengekalkan keseimbangan antara penguatkuasaan undang-undang, kebimbangan masyarakat dan pertimbangan kemanusiaan terhadap golongan yang melarikan diri akibat konflik di negara asal.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menjual lesen perniagaan kepada PATI.

“Mereka perlu disenarai hitam kerana tindakan itu hanya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast