Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke hadir pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP, Jalan Yew, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 03 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Masa depan dan kedudukan DAP dalam Kerajaan Perpaduan kini diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan lebih 4,000 perwakilan yang bakal menentukan hala tuju parti pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 yang dijadualkan berlangsung 16 Ogos depan.

​Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke  berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang diadakan malam ini telah memutuskan untuk membawa satu usul khas bagi membolehkan para perwakilan membuat keputusan muktamad berkenaan perkara itu.

​Menurutnya, usul tersebut penting bagi memutuskan sama ada parti berkenaan perlu terus kekal berada dalam kerajaan bagi baki penggal Parlimen semasa atau sebaliknya.

​”Usul ini akan ditentukan sendiri oleh para perwakilan sama ada kekal atau tidak dalam kerajaan. Keputusan ini tidak dibuat oleh CEC, sebaliknya kita menyerahkan kepada kebijaksanaan perwakilan yang layak hadir pada Persidangan Kebangsaan itu kelak.

“Kita memang ada membahaskan perkara ini tetapi CEC tak nak membuat apa-apa pendirian kerana yang penting ialah perwakilan kita kena buat keputusan itu.

“Jadi kita tak nak ada apa-apa pendirian untuk memandu keputusan perwakilan. Perwakilan ada kebebasan mutlak untuk membuat keputusan mereka kerana semua perwakilan akan dibekalkan kertas undi.

“Mereka bukan mengangkat tangan tetapi akan dibekalkan kertas undi untuk mengundi sama ada kekal atau tidak,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat DAP malam ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berucap pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP, Jalan Yew, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 03 OGOS 2026.

Jelasnya, CEC sebulat suara mengambil keputusan supaya tidak mengambil satu pendirian rasmi.

“Memang kita ada macam-macam pandangan dalam CEC tetapi itu adalah pandangan peribadi anggota-anggota CEC. Tetapi saya tidak mahu mempengaruhi keputusan daripada perwakilan.

“Perwakilan akan ada kebebasan untuk membuat keputusan mereka sendiri. Jadi kita sebagai satu parti yang mengamalkan sistem demokrasi dalaman, kedudukan kita dalam kerajaan bukan kita tentukan sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

KEMASKINI: Anthony letak jawatan Pengerusi DAP Negeri Sembilan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.