Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes saman 1MDB terhadapnya atas dakwaan penyelewengan dana syarikat, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 04 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berkata, aset bernilai RM31.3 billion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjaya dipulihkan, melebihi jumlah RM24 bilion yang dituntut syarikat itu dalam prosiding saman terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Beliau mendakwa, perkara itu yang pada awalnya dirahsiakan, namun didedahkan selepas pasukan peguam yang mewakili bekas perdana menteri melakukan beberapa permohonan.

“Pihak 1MDB menuntut RM24 bilion dan pemulihan aset setakat ini telah melebihi RM31 bilion. Jumlah itu bukan satu-satunya proses pemulihan yang dilakukan bagi mendapatkan kembali dana 1MDB.

“Jika aset-aset 1MDB dijual, syarikat itu akan memperolehi tambahan sebanyak RM40 bilion menjadikan jumlah keseluruhan RM71 bilion. Jadi siapa kata 1MDB bankrap dan tiada wang?

“Apa yang saya ingin tekankan ialah mereka cuba mendapatkan semula (pemulihan aset), walhal mereka (1MDB) telah ada lebih daripada itu ,” ujarnya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (tengah) bercakap kepasa wartawan ketika sidang media di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 28 APRIL 2025. (GAMBAR FAIL)

Terdahulu, Mahkamah Tinggi mendengar prosiding perbicaraan kes saman 1MDB dan empat yang lain terhadap Najib dan enam pihak selepas didakwa mengalami kerugian berbilion ringgit dana syarikat pelaburan strategik negara itu.

Menurut Muhammad Shafee, perkara berkaitan pemulihan aset itu ditanyakan kepada saksi 1MDB, Richard Templeman yang juga penyiasat kewangan antarabangsa pada perbicaraan tersebut.

Menurut peguam, saksi berkenaan bagaimanapun menyatakan tidak begitu arif berkaitan isu pemulihan aset.

Pengarah Siasatan Kewangan Antarabangsa, Richard Templeman hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memberi keterangan berkaitan perbicaraan kes saman 1MDB terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 04 OGOS 2026.

 

Peguam itu turut menjelaskan mengapa jumlah kerugian dalam writ saman yang pada asalnya AS$8 bilion, berkurangan kepada AS$5.6 bilion.

Muhammad Shafee menjelaskan, jumlah aset yang dipulihkan itu akan menyebabkan kerugian yang dialami berkurangan, namun terdapat peningkatan faedah.

Ketika ditanya, bila pasukan peguam menyedari jumlah aset yang berjaya dipulihkan, beliau berkata, perkara itu didedahkan menerusi dokumen yang menunjukkan jumlah yang berjaya diperolehi kembali.

“Saya tidak faham mengapa mereka masih memainkan isu yang sama iaitu Najib perlu membayar hutang 1MDB,” ujar peguam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast