Salah seorang jenazah dimasukkan ke van di perkarangan HoSHAS malam tadi.

TEMERLOH – Kesemua jenazah empat mangsa yang maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap sebatang pokok di Jalan Lama Kuala Lumpur berhampiran Bentong semalam selamat dituntut oleh ahli keluarga di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) malam tadi.

Jenazah Allahyarham Mohd Radzi Rahimi, 35, yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, isterinya, Nuriani Mohammad Jafri, 36, anak mereka Muhammad Rizz Hazim, 5, serta adik Nuriani, Mohammad Nizam, 40, selesai menjalani proses bedah siasat sebelum dituntut 11.35 malam tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati susana pilu menyelubungi keluarga mangsa dan sahabat handai  di perkarangan Unit Forensik HOSHAS.

Turut kelihatan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh.

Jenazah kemudiannya akan dibawa ke Masjid Kampung Paya Luas untuk diuruskan terlebih dahulu sebelum dibawa ke Masjid Asy-Syakirin, Maran bagi disolatkan.

Kesemua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Chedung, Maran pada malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi, sebuah Ford Raptor yang dinaiki lima sekeluarga dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke pintu gerbang Janda Baik sebelum dihempap sebatang pokok yang tumbang.

BACA: Ketua Pemuda UMNO Maran, isteri dan anak dipercayai antara maut kenderaan dihempap pokok

Kejadian itu mengorbankan empat mangsa di lokasi manakala seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipercayai pasangan kembar kepada Muhammad Rizz Hazim terselamat dan kini menerima rawatan di Hospital Bentong. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Empat maut pacuan empat roda dihempap pokok di Bentong

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast