KUALA LUMPUR – Kelantan Red Warrior FC (KRWFC) kini melangkah ke era baharu apabila secara rasmi melantik tokoh dan legenda bola sepak tempatan, Wan Jamak Wan Hassan bagi menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Teknikal.
Pelantikan tersebut merupakan satu strategi kukuh kelab dalam mempersiapkan skuad dan struktur organisasi menjelang cabaran Liga Super musim 2026/27.
Wan Jamak sebelum ini mempunyai pengalaman luas mengendalikan skuad kebangsaan, Negeri Sembilan, Kedah, PKNS FC serta pengurusan teknikal di Kuching City FC.
“Fokus Wan Jamak adalah untuk memperkasakan akademi KRWFC menerusi pencarian bakat muda tempatan untuk digilap hingga mampu menembusi pasukan senior.
“Matlamatnya clear untuk melahirkan lebih ramai anak tempatan Kelantan sebagai aset masa depan kelab.
“Bukan sahaja pemain, kualiti jurulatih tempatan turut dipertingkatkan menerusi lesen kejurulatihan, pendedahan taktikal moden, dan penerapan metodologi sains sukan,” kata kelab itu dalam satu hantaran di media sosial.
KRWFC menambah, pelan jangka panjang tiga tahun kini bermula dengan ekosistem yang tersusun di mana kelab mensasarkan untuk bersaing hebat di peringkat domestik dan seterusnya melangkah ke pentas Asia.
“Gabungan pengalaman ‘orang lama’ yang kaya dengan ilmu bola sepak dan cita-cita tinggi KRWFC bakal meletakkan kelab ini di satu aras yang lebih profesional dan berdaya saing,” katanya. – MalaysiaGazette
















