Seorang mayat lelaki dalam keadaan tangan dan kaki diikat serta terdapat kesan luka dengan tubuhnya dililit dengan jaring ditemukan dalam sungai di Parit Raja, Batu Pahat pada 3 Ogos 2026.

JOHOR BAHRU – Satu mayat lelaki dalam keadaan tangan dan kaki diikat serta terdapat kesan luka dengan tubuhnya dililit dengan jaring ditemukan dalam sungai di Parit Raja, Batu Pahat semalam.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, mayat berkenaan ditemukan orang awam dalam Sungai Tanjung Sembrong berkenaan pukul 12.30 tengah hari.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, tangan dan kaki mangsa diikat dengan pita pelekat dan terdapat beberapa kesan kecederaan luka di bahagian pinggang dan lengan mangsa.

“Mayat mangsa juga telah dibungkus dan dililit dengan jarring,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pihaknya kemudian membuat semakan lanjut dan mendapati terdapat satu laporan polis dibuat seorang wanita warga tempatan mengenai kehilangan suaminya di Mutiara Rini, Iskandar Puteri pukul 10.09 malam, pada 29 Julai lalu.

Susulan itu katanya, kes diklasifikasikan sebagai kertas enkuiri pengurusan (orang hilang) sebelum pengecaman awal dibuat ahli keluarga.

Menurutnya, mayat mangsa sudah dicamkan waris terdekat sebagai orang yang hilang dalam laporan polis tersebut berdasarkan pakaian dan barangan milik mangsa yang ditemui bersama-sama mayat.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Batu Pahat membuat tangkapan, semalam.

“Kita menangkap tiga lelaki warga tempatan berumur antara 26 sehingga 40 tahun di sekitar kawasan Batu Pahat.

“Semakan rekod jenayah lampau ke atas ketiga-tiga suspek mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

Chuan Huat memberitahu, turut dirampas lima telefon bimbit milik semua suspek berkenaan.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.

Jelasnya, permohonan perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah ke atas semua suspek dibenarkan selama tujuh hari mulai 4 hingga 10 Ogos ini.

“Setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis. Namun pihak polis tidak menolak motif pembunuhan adalah disebabkan oleh hutang,” ujarnya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan kes itu yang boleh mengganggu siasatan pihak polis.

Tambahnya, sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline polis Kohor 019-2792095 serta talian bilik gerakan IPK Johor 07-2212999.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast