KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan Haji Lestari Fasa 2, program pengumpulan kain ihram terpakai di Malaysia untuk diproses melalui kaedah kitar tinggi bagi menghasilkan produk bernilai tambah seperti sejadah mini dan beg serbaguna.
Ia merupakan fasa baharu Program Haji Lestari selepas TH berjaya mengumpulkan hampir 4,000 kilogram (kg) kain ihram terpakai di Tanah Suci menerusi pelaksanaan pada fasa pertama.
Kain ihram yang dikumpulkan itu telah diserahkan kepada Thoub Al-Ataa Charity Association, sebuah entiti yang dilesenkan oleh National Center for Waste Management, Arab Saudi, untuk diproses menerusi kaedah kitar semula terkawal secara selamat dan sistematik.
Produk tersebut akan dimanfaatkan oleh bakal jemaah haji Malaysia pada musim haji akan datang selaras dengan konsep “Daripada Jemaah, Untuk Jemaah.”
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, sambutan terhadap inisiatif berkenaan pada musim haji lalu amat menggalakkan apabila lebih 1,700 kg kain ihram berjaya dikumpulkan di Mina manakala lebih 2,000 kg lagi di Makkah, Arab Saudi.
“Kejayaan Haji Lestari Fasa 1 membuktikan kesedaran para jemaah haji Malaysia terhadap kepentingan kelestarian semakin meningkat.
“Kain ihram yang dikumpulkan akan dikitar tinggi menjadi produk baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat serta bakal jemaah haji pada musim akan datang,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif itu menyokong amalan ekonomi kitaran melalui penggunaan semula kain ihram terpakai, sekali gus memperkukuh komitmen TH terhadap pemeliharaan alam sekitar dalam pengurusan haji dan keseluruhan operasinya.
Program berkenaan turut selaras dengan aspirasi Saudi Vision 2030 menerusi usaha mengurangkan sisa tekstil, memelihara alam sekitar serta memperkukuh ekonomi kitaran yang berpotensi menjana peluang pekerjaan.
Mustakim turut menyeru jemaah haji dan umrah supaya bersama-sama menjayakan Program Haji Lestari dengan menyumbangkan kain ihram terpakai mereka.
“Setiap sumbangan bukan sahaja menyokong usaha kelestarian, malah membolehkan manfaatnya diteruskan kepada bakal jemaah haji yang lain.
“Kami berharap Haji Lestari akan menjadi model pengurusan pasca haji yang lestari, berimpak tinggi dan memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat serta alam sekitar,” katanya.
Program itu akan bermula Ogos 2026 sehingga musim haji seterusnya dengan melibatkan pengumpulan kain ihram terpakai di semua pejabat TH negeri serta cawangan TH terpilih. – MalaysiaGazette















