Pihak bomba terima panggilan kebakaran jam 8.14 malam.

NIBONG TEBAL – Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Pulau Burung di sini sekali lagi terbakar malam tadi sebelum berjaya dipadamkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang selepas operasi pemadaman selama kira-kira empat jam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.14 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal bersama bantuan BBP Batu Kawan dan BBP Bayan Baru digerakkan ke lokasi.

Beliau berkata, pasukan bomba tiba pada jam 8.27 malam dan mendapati kebakaran membabitkan timbunan sisa pepejal dianggarkan seluas 120 x 90 kaki persegi.

“Komander operasi menjalankan penilaian awal di lokasi sebelum mengarahkan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman dilakukan mengikut konsep RECEO, selain membina fire break bagi menghalang api daripada merebak.

“Operasi pemadaman dibahagikan kepada dua sektor, iaitu Sektor A dan Sektor B, bagi mempercepatkan usaha mengawal kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi pemadaman mengambil masa kira-kira empat jam.

Menurut beliau, kebakaran di kedua-dua sektor berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 12 tengah malam sebelum anggota meneruskan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada lagi punca yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Katanya, operasi itu turut mendapat bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Nibong Tebal, Valdor, Parit Buntar, Machang Bubok, Sungai Jawi dan Kuala Kurau.

“Dua unit jengkaut milik Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) turut digunakan bagi memunggar timbunan sisa pepejal untuk memudahkan anggota menjalankan pemadaman secara direct attack.

“Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.30 pagi tadi selepas tiada lagi sebarang bahaya di lokasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast