KUALA LUMPUR – Semua aspek hukum dan keperluan syariah berkaitan zakat Tabung Haji (TH) diberi perhatian dengan pakar dalam bidang berkenaan turut dirujuk bagi memastikan pematuhan ditetapkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, orang ramai khususnya umat Islam tidak perlu bimbang kerana aspek hukum dan syariah telah diambil kira dalam pelaksanaan perkara berkenaan.
“Secara umumnya, jangan bimbang. Semua aspek hukum sememangnya diambil perhatian dan kita ada pakar-pakar. Sudah pasti semuanya mematuhi keperluan syariah dan keperluan dari segi aspek hukum,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Serahan Zakat Perniagaan Kumpulan Kewangan Islam maybank dan Penyerahan Insentif Perkahwinan Asnaf Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Zulkifli diminta mengulas berhubung kenyataan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang meminta kerajaan menjelaskan status bayaran zakat bagi pendeposit Tabung Haji (TH) susulan penemuan `meresahkan’ dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang didedahkan umum pada Rabu lalu.
Menurut Rafizi, laporan suruhanjaya mendapati, semasa Lembaga Tabung Haji (LTH) membayar zakat di bawah akad Wadi’ah Yad Dhamanah dari 2016 hingga 2019, ia sebenarnya perlu dibayar oleh agensi itu bukan dilunaskan oleh pendeposit.
Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, pendekatan yang diambil oleh agensi itu bertentangan dengan Akta Tabung Haji 1995.
Oleh yang demikian, katanya, Perdana Menteri dan Menteri Agama perlu menjelaskan sama ada zakat bagi pihak pendeposit bagi tempoh di antara 2016 dan 2019 telah dilunaskan selepas mengambil alih kerajaan.
Dalam pada itu, Zulkifli pula menegaskan, TH akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu selain satu sesi pembentangan dijadualkan berlangsung di Parlimen pada 11 Ogos ini.
“Insya-Allah, Tabung Haji akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini dan akan ada sesi pembentangan di Parlimen pada 11 haribulan,” katanya. – MalaysiaGazette
















