KUANTAN – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) disifatkan mampu menjadi tiket mengubah masa depan komuniti Orang Asli sebagai permulaan menerokai ilmu dan kemahiran.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru lebih ramai belia daripada masyarakat itu menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, daripada kira-kira 90,000 penduduk Orang Asli di Pahang, kadar keciciran pendidikan masih berada pada tahap yang membimbangkan dan perlu ditangani segera melalui akses kepada pendidikan kemahiran yang mampu menjamin masa depan.
Katanya, kejayaan graduan Orang Asli menamatkan pengajian di YP Advanced Skills membuktikan TVET bukan lagi laluan alternatif sebaliknya menjadi pemangkin mobiliti sosial yang membuka peluang pekerjaan dan keusahawanan.
“Bidang kemahiran kini sangat penting dan bukan lagi pilihan kedua. Saya harap graduan Orang Asli yang berjaya hari ini akan menjadi inspirasi kepada generasi muda di kampung masing-masing supaya lebih ramai menyertai YP Advanced Skills,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Sijil dan Diploma Kemahiran Malaysia 2026 YP Advanced Skills di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 388 graduan menerima sijil dan diploma dalam pelbagai bidang kemahiran termasuk diploma, sijil kemahiran, tahfiz mahir serta pembuatan roti.
Wan Rosdy berkata, kekuatan TVET terletak pada kebolehpasaran graduannya yang tinggi kerana mereka bukan sahaja mampu memenuhi keperluan industri malah berupaya mencipta peluang pekerjaan sendiri melalui bidang keusahawanan.
“Graduan kemahiran mempunyai kelebihan. Mereka boleh memilih untuk bekerja dengan majikan atau membuka perniagaan sendiri.
“Bagaimanapun, saya berharap mereka tidak berhenti setakat ini. Teruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana lebih banyak peluang menanti pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut memuji YP Advanced Skills yang disifatkan berjaya membangunkan modul latihan berimpak tinggi sehingga melahirkan graduan berkemahiran serta mempunyai kadar kebolehpasaran yang memberangsangkan.
Tambahnya, kisah kejayaan graduan Orang Asli yang memperoleh pekerjaan selepas mengikuti program TVET perlu dijadikan contoh terbaik untuk mengubah persepsi masyarakat bahawa pendidikan kemahiran mampu menjadi jalan keluar daripada kemiskinan, sekali gus membantu mengurangkan kadar keciciran pendidikan dalam komuniti tersebut. – MalaysiaGazette
















