Seorang mayat lelaki dalam keadaan tangan dan kaki diikat serta terdapat kesan luka dengan tubuhnya dililit dengan jaring ditemukan dalam sungai di Parit Raja, Batu Pahat pada 3 Ogos 2026.

JOHOR BAHRU – Polis menahan dua lagi lelaki semalam bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki yang mayatnya ditemukan dalam keadaan diikat serta dibalut jaring sebelum dicampakkan dalam Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, Batu Pahat, Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, penahanan terbaharu itu menjadikan keseluruhan lima individu ditahan setakat ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Dua suspek berusia 33 dan 34 tahun itu ditahan di sekitar Kluang dan Johor Bahru hasil siasatan susulan yang dijalankan polis.

“Mahkamah membenarkan kedua-dua suspek direman selama enam hari sehingga 10 Ogos ini.

“Sehingga kini, lima individu telah ditahan. Tiga suspek yang ditahan sebelum ini telah direman selama tujuh hari sehingga 10 Ogos, manakala dua lagi suspek yang ditahan semalam turut direman sehingga tarikh yang sama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau memberitahu, siasatan masih diteruskan dan polis sedang mengesan sekiranya terdapat lagi individu yang terbabit.

Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat

Chuan Huat berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan masalah hutang namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan setiap suspek.

“Setakat ini dipercayai salah seorang suspek mempunyai hutang dengan mangsa manakala individu lain dipercayai mempunyai kaitan sebagai rakan,” katanya.

Mengulas mengenai punca kematian mangsa, beliau berkata, polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat daripada Jabatan Forensik sebelum sebarang pengesahan dibuat.

Portal ini semalam melaporkan mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan dibungkus dan diikat menggunakan jaring sebelum terapung di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja.

Susulan penemuan itu, polis melancarkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan kini giat melengkapkan siasatan bagi mengenal pasti keseluruhan individu yang terlibat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast