NIBONG TEBAL – Seorang peniaga minuman melecur 50 peratus pada seluruh badan selepas terperangkap dalam kebakaran rumahnya yang turut menyebabkan sebuah tong gas meletup di Lorong Bakap Permai 9, Sungai Bakap di sini hari ini.
Mangsa, Tan Chin Long, 58, ditemui bersembunyi di bawah meja makan ketika anggota bomba tiba di lokasi kejadian pukul 2.51 petang.
Penguasa Kanan Bomba I Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Muhammad Syukor Fadzil berkata, siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula dari kawasan bilik tidur manakala tong gas yang berada di dapur meletup akibat bahang api selepas kebakaran berlaku.
“Bukan tong gas itu yang menyebabkan kebakaran. Kebakaran berlaku terlebih dahulu dan bahang api dipercayai menyebabkan tong gas mengembang sebelum meletup.

“Setakat ini tiada kesan menunjukkan mangsa sedang memasak ketika kejadian dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.
“Mangsa yang melecur kira-kira 50 peratus pada anggota badan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Tambah beliau, kebakaran telah menyebabkan rumah teres kelas A itu musnah kira-kira 50 peratus manakala rumah jiran di sebelah kiri mengalami kerosakan sekitar 10 peratus.
Katanya, dinding pemisah antara rumah berjaya menghalang api daripada merebak dengan pantas ke kediaman bersebelahan.
“Cabaran utama operasi pemadaman adalah keadaan rumah yang dipenuhi pelbagai barang dan perabot sehingga menyukarkan pergerakan anggota bomba.

“Bagaimanapun, kebakaran dipadam sepenuhnya pada jam 3.47 petang dan operasi tamat 4.36 petang,” katanya.
Operasi membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap serta Batu Kawan dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Waldo dan Kampung Jawi.
Sementara itu, jiran mangsa, N. Karnagaran, 59, berkata, dia bersama isteri dan anaknya sedang menonton televisyen sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kuat sebanyak dua kali.
Katanya, selepas mendengar bunyi berkenaan, dia keluar untuk melihat keadaan sebelum ternampak asap tebal keluar dari rumah jiran yang terletak selang dua buah dari kediamannya.
“Bunyi letupan itu sangat kuat, kami ingatkan seperti bunyi bom kerana kedudukannya terlalu dekat dengan rumah saya.

“Saya terus kumpulkan dokumen penting dan keluarkan kereta sebagai langkah berjaga-jaga.
“Susulan itu, pihak bomba tiba dengan pantas untuk mengawal kebakaran dan kami bersyukur tiada perkara buruk berlaku,” katanya yang bekerja sebagai pemandu kren. – MalaysiaGazette
















