PUTRAJAYA – Kerajaan masih meneliti cadangan penghantaran pulang 5,000 pelarian Rohingya ke negera asal, Myanmar dengan aspek keselamatan dan risiko terhadap nyawa mereka menjadi keutamaan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu kini diteliti oleh Kementerian Luar (KLN) bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), termasuk mengenal pasti individu yang terlibat dalam proses berkenaan.
Menurut beliau, Malaysia sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab tidak akan menghantar pulang mana-mana pelarian sekiranya mereka berdepan risiko dizalimi atau nyawa mereka terancam apabila kembali ke negara asal.
“Perkara ini sedang diteliti oleh Wisma Putra dan juga Kementerian Dalam Negeri. Semestinya Malaysia sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab tidak akan menghantar pulang sekiranya 5,000 orang pelarian Myanmar ini akan dizalimi ataupun nyawa mereka akan terancam.
“Jadi ada beberapa perkara yang akan kita teliti terlebih dahulu dalam perbincangan dengan kerajaan junta Myanmar sebelum kita laksanakan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan kerajaan junta Myanmar menyatakan kesediaan untuk menerima 5,000 pelarian berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan menilai terlebih dahulu kriteria penghantaran pulang sebelum sebarang pelaksanaan dibuat.
“Kerajaan akan teliti apakah kriterianya dan sekiranya sesuai, kita akan laksanakan.
“Namun Perdana Menteri turut mengambil maklum bahawa kita tidak boleh menghantar pulang mereka sekiranya nyawa mereka terancam. Jadi perkara itu sedang diperhalusi oleh Wisma Putra,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas status terkini cadangan penghantaran pulang 5,000 pelarian Rohingya ke Myanmar, termasuk jaminan keselamatan daripada kerajaan Myanmar, kos operasi serta kaedah pelaksanaannya.
Dalam pada itu, Fahmi turut berkata Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji pada 11 Ogos ini akan berlangsung secara berterusan tanpa waktu rehat selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
“Pada ketika ini, dianggarkan sekurang-kurangnya 35 hingga 40 orang Ahli Parlimen telah menyatakan kesediaan dan minat untuk membahas isu tersebut.
“Kita boleh ikuti nanti siaran secara langsung dalam semua saluran media rasmi sepanjang sidang khas Dewan Rakyat,” katanya.
Fahmi turut memaklumkan Jemaah Menteri mengambil perhatian terhadap isu permohonan pekerja asing, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) supaya mempercepatkan pemprosesan 15,000 permohonan pertama bagi memenuhi keperluan tenaga kerja sektor-sektor berkaitan.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan kekurangan tenaga kerja dapat ditangani sekali gus menyokong aktiviti ekonomi dan pertumbuhan negara.
“Ini bagi memenuhi keperluan tenaga kerja sektor-sektor yang terlibat dan secara langsung menyokong aktiviti ekonomi dalam negara kita,” katanya.
Dalam sidang media sama, Kabinet turut merakamkan ucapan tahniah kepada kontinjen Malaysia atas pencapaian cemerlang pada Sukan Komanwel yang disifatkan berjaya mengharumkan nama negara serta menjadi pembakar semangat kepada atlet lain.
“Pencapaian cemerlang dalam temasya Sukan Komanwel ini sudah pasti menjadi pembakar semangat untuk atlet-atlet negara kita. Tahniah kita ucapkan kepada semua yang telah berjaya,” katanya.
Untuk rekod, kontinjen Malaysia mencipta kejayaan membanggakan pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas berjaya meraih lapan pingat emas selain tiga perak dan lima gangsa dalam temasya berkenaan.
Antara penyumbang utama kejayaan negara ialah atlet angkat berat yang mencatat beberapa kemenangan emas, selain sumbangan daripada sukan lain termasuk berbasikal trek menerusi jaguh negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang.
Pencapaian itu membuktikan kemampuan atlet Malaysia bersaing di pentas antarabangsa selain menjadi pembakar semangat untuk terus mencipta kejayaan dalam temasya sukan akan datang. – MalaysiaGazette
















