KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) akan menganjurkan Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh pada 15 dan 16 Ogos ini yang dijangka menghimpunkan lebih 5,500 perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.

Persidangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan pula akan berlangsung sehari lebih awal, manakala Perdana Menteri yang juga Presiden Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucapan dasar serta merasmikan kongres berkenaan.

Pengarah Kongres Nasional Keadilan 2026, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, sekretariat kongres mengalu-alukan kehadiran kira-kira 2,500 perwakilan serta sekurang-kurangnya 3,000 pemerhati yang terdiri daripada anggota parti di seluruh negara.

Menurutnya, kongres itu turut dijangka dihadiri wakil diplomatik beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan Australia yang telah mengesahkan kehadiran, selain penyertaan kedutaan negara lain.

Katanya, pimpinan parti-parti politik turut dijemput menghadiri kongres sebagai simbol perpaduan serta komitmen terhadap usaha memperkukuh Malaysia MADANI.

Saifuddin berkata, tema ‘Memugar Reformasi, Membina Madani’ dipilih bagi mencerminkan usaha memperkukuh semula semangat reformasi yang menjadi asas penubuhan Keadilan.

Di samping memastikan perjuangan parti terus relevan dalam mendepani cabaran semasa.

“Perbahasan kongres akan memberi tumpuan kepada isu-isu rakyat seperti ekonomi, pendidikan dan politik.

“Seramai 16 pembahas yang mewakili sayap parti serta negeri-negeri akan mengambil bahagian membahaskan ucapan dasar Presiden,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin Shafi

Beliau berkata, kongres itu turut menjadi medan memperkukuh iltizam anggota parti untuk mempertahankan integriti, menegakkan keadilan sosial, membela golongan kurang berkemampuan serta mengukuhkan perpaduan dan semangat kebersamaan antara kaum.

Menurutnya, seperti penganjuran tahun-tahun sebelumnya, Keadilan akan menyampaikan Anugerah Bill Kayong kepada lima keluarga sebagai menghargai jasa ahli keluarga mereka yang telah berkhidmat kepada parti sehingga akhir hayat.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kongres Nasional Keadilan 2026 turut menjalin kerjasama strategik dengan beberapa kementerian dan agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Katanya, Karnival Rahmah Mega anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka juga akan diadakan bersempena kongres bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada perwakilan, pemerhati serta orang ramai.

“Menjadi harapan kami agar Kongres Nasional Keadilan 2026 dapat mencipta momentum baharu dalam kalangan pimpinan dan anggota parti, mencari titik persamaan serta meneruskan ikhtiar membina Malaysia yang lebih bermaruah, makmur dan adil untuk semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast