Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim berucap pada Simposium Bah Monsun 2026 di Bangi Resort Hotel, Selangor. Foto SADIQ SANI, 05 OGOS 2026.

BANGI – Kejayaan sebenar pengurusan bencana banjir adalah apabila tidak ada sebuah bot sekalipun digerakkan untuk menyelamatkan mangsa, kata Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim,

Jelasnya, ia bergantung kepada sejauh mana langkah mitigasi dan kesiapsiagaan yang dilaksanakan sebelum bencana mampu mengurangkan risiko, melindungi penduduk serta mengurangkan bilangan mereka yang memerlukan bantuan kecemasan.

“Ungkapan ini bukan bermaksud kita tidak memerlukan bot, anggota penyelamat, pusat pemindahan sementara atau aset tindak balas. Semua keupayaan tersebut tetap penting dan perlu diperkukuh bagi memastikan negara sentiasa bersedia untuk bertindak apabila bencana berlaku,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Bah Monsun 2026 di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Profesor Adjung Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Seri Zaini Ujang.

Mengulas lanjut, beliau berkata cabaran utama dalam pengurusan bencana pada masa ini bukan lagi sekadar bertindak balas dengan pantas selepas bencana berlaku, sebaliknya meningkatkan pemahaman terhadap risiko, menjangka impak dengan lebih tepat, membuat keputusan lebih awal serta mengambil tindakan sebelum sesuatu keadaan berkembang menjadi krisis.

Katanya, keputusan yang dibuat pada masa yang tepat berpotensi mengurangkan jumlah mangsa, kerosakan harta benda serta gangguan terhadap perkhidmatan asas.

“Dalam hal ini, masa merupakan faktor yang amat penting. Setiap maklumat yang diterima lebih awal memberikan ruang untuk tindakan pencegahan dilaksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kemajuan dalam bidang ramalan cuaca, pemodelan hidrologi, analitik data dan kecerdasan buatan (AI) membuka ruang lebih luas kepada negara untuk memahami risiko bencana dengan lebih tepat.

Bagaimanapun, katanya, kemajuan teknologi hanya akan memberi manfaat sekiranya ramalan yang dihasilkan dapat diterjemahkan kepada keputusan dan tindakan yang dilaksanakan pada masa yang tepat.

“Dalam konteks ini, sains, teknologi, data dan inovasi perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam memperkukuh sistem pengurusan bencana negara,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast