GEORGE TOWN – Polis memburu seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam empat kes jenayah termasuk pecah rumah, samun dan pencerobohan di Tanjung Bungah di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima empat laporan berkaitan kejadian itu bagi tempoh antara 20 Julai hingga Ahad lalu.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan jenayah berkenaan secara bersendirian serta jenayah itu bersifat peluang (opportunistic).
“Sebanyak empat kertas siasatan dibuka membabitkan satu kes pecah rumah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan satu kes samun mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.
“Selain itu, satu kes pencerobohan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan serta satu kes kecurian membabitkan alat kawalan jauh pintu pagar automatik turut disiasat.
“Dua daripada kes berkenaan membabitkan kerugian kira-kira RM17,000 manakala dua lagi tidak melibatkan sebarang kerugian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Abdul Rozak, tahap keselamatan di kawasan Tanjung Bungah ketika ini adalah terkawal dan sebagai langkah pencegahan, pihak polis mempertingkatkan rondaan di kawasan perumahan terbabit.
Abdul Rozak turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan atau keberadaan suspek supaya menghubungi polis atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Terdahulu, seorang pengguna akaun Facebook meminta penduduk sekitar Tanjung Bungah supaya berwaspada susulan kejadian sebuah rumah dipecah masuk kira-kira jam 2 pagi.
Pengguna berkenaan mendakwa suspek memasuki rumah berkenaan dengan membuka tingkap sebelum menutup sistem kamera litar tertutup dan mengugut penghuni menggunakan pisau bagi meminta wang. – MalaysiaGazette















