KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat milik sebuah badan berkanun susulan siasatan terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Individu berusia 68 dan 60 tahun itu ditahan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam proses pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.
Menurut sumber, kedua-duanya ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, jam 6.30 petang semalam.
Bagaimanapun, suspek sudah dibebaskan malam tadi atas faktor kesihatan dan akan hadir semula ke SPRM pada jam 10 pagi ini bagi disambung rakaman percakapan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. -MalaysiaGazette
















