JOHOR BAHRU – Polis menahan tujuh ahli sindiket pengedaran dadah cecair vape dengan rampasan dan sitaan berjumlah RM10.8 juta selepas melakukan lima serbuan secara berasingan di empat daerah pada Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, penahanan itu turut membongkar sebuah stor yang dijadikan pusat pembungkusan dan pengisian cecair vape disyaki mengandungi methamphetamine dan rampasan pelbagai jenis dadah cecair.
Beliau memberitahu, menerusi serbuan di Kulai, Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Muar itu pihaknya merampas cecair dipercayai mengandungi dadah seberat 210.43 kilogram dengan nilai pasaran dianggarkan RM10.68 juta.
“Dalam operasi pukul 11 pagi secara serentak itu, polis menahan lima lelaki tempatan, seorang lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia antara 36 hingga 46 tahun.
“Serbuan pertama di sebuah stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kulai membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing iaitu pasangan suami dan isteri.
“Pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan Honda BR-V menemukan 9,000 kartrij vape mengandungi cecair disyaki methamphetamine seberat 82.40 kilogram dengan nilai dianggarkan RM4.12 juta.
“Serbuan kedua di Bandar Medini, Iskandar Puteri pula berjaya menahan seorang lelaki warga asing. Rumah tersebut dijadikan tempat pembungkusan serta pengisian cecair vape mengandungi dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan di premis itu menemukan 47 botol plastik mengandungi perisa vape, sebotol kaca mengandungi cecair disyaki methamphetamine seberat 127.55 liter bernilai RM6.38 juta, dua paket plastik disyaki kokain seberat 0.41 kilogram bernilai RM184,275 serta satu paket plastik disyaki ketamin seberat 40 gram bernilai RM2,000.

Pihaknya turut merampas sebuah mesin pengisian cecair vape ke dalam kartrij bersama-sama pelbagai peralatan yang digunakan untuk mencampurkan perisa vape dengan cecair disyaki methamphetamine.
Menurutnya, dalam serbuan ketiga di Taman Sutera Utama di sini pula seorang lelaki tempatan ditahan dan polis merampas dua paket heroin seberat 11.45 gram, 20 biji pil Erimin 5 dan 53 biji pil ekstasi.
Katanya, serbuan keempat dan kelima di Mutiara Rini serta kawasan parkir sebuah stesen minyak di Tanjung Agas, Muar, membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki tempatan.
“Kesemua dadah ini dipercayai mampu disalahgunakan seramai 649,096 penagih jika terlepas ke pasaran.
“Siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak Februari lalu dengan menjadikan kondominium sebagai lokasi pembungkusan dan pengisian cecair vape mengandungi methamphetamine sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Setiap suspek dipercayai mempunyai peranan tertentu dalam sindiket berkenaan, termasuk sebagai penghantar, penjaga stor, pembantu, penerima barangan dan ketua sindiket,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati dua suspek positif methamphetamine.
Tambahnya, semakan turut mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 Ogos bagi membantu siasatan, katanya.
“Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita tiga kenderaan iaitu sebuah Ford Ranger, Mercedes-Benz dan Perodua Aruz bernilai keseluruhan RM120,000,” ujarnya.
Beliau memberitahu, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dianggarkan berjumlah RM10.80 juta.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette
















