Tiga anggota polis yang maut akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Beaufort, Sabah. - Foto: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan segera bagi mengenal pasti punca kejadian tragis membabitkan tiga anggota polis yang maut terkena renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, petang tadi.

Sambil melahirkan rasa dukacita, Perdana Menteri berkata, langkah penambahbaikan perlu diambil supaya tragedi seperti itu tidak berulang.

“Takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa serta warga PDRM.

“Jasa dan pengorbanan mereka dalam memelihara keamanan serta keselamatan negara akan sentiasa dikenang,” katanya menerusi Facebook malam ini.

Dalam kejadian di Jalan Weston, Kampung Weston, Beaufort, Sabah petang tadi, tiga anggota polis lelaki maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik.

Mangsa ialah Koperal Chiu Teck Siong, 40; Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29; dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, dilaporkan berkata, ketiga-tiga anggota polis maut itu dipercayai sedang menjolok buah kelapa menggunakan galah besi sebelum alat itu terkena kabel elektrik.

Katanya, kejadian jam 5.50 petang itu berlaku apabila galah besi digunakan secara tiba-tiba hilang keseimbangan lalu terkena kabel elektrik di atas.

Menurutnya, dua lagi anggota yang berada berhampiran kemudian cuba membantu mangsa, namun turut terkena renjatan sebelum ketiga-tiganya rebah.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat mereka dibawa ke Hospital Beaufort untuk tindakan lanjut.

Katanya, polis sudah membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, manakala bedah siasat akan dijalankan sebelum mayat diserahkan kepada waris. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast