Seramai tujuh individu diselamatkan selepas bot dinaiki mereka tersadai di Pulau Dayang Bunting, Langkawi pagi tadi. - Foto: Ihsan Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis berjaya menyelamatkan tujuh individu selepas bot penumpang yang mereka naiki dilaporkan tersadai di kawasan Pulau Dayang Bunting, pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, Pusat Penyelaras Penyelamatan Maritim (MRSC) Langkawi menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 8.25 pagi yang memaklumkan kejadian tersebut.

Menurutnya, sejurus menerima maklumat, Maritim Malaysia segera menggerakkan Bot Kilat 6 dan Bot Penggalang 2 ke lokasi bagi melaksanakan operasi bantuan.

Tambahnya, bot Penggalang 2 berjaya mengesan kesemua mangsa dalam keadaan selamat di pesisiran Pulau Dayang Bunting pada jam 10.15 pagi.

Ujarnya, dengan bantuan sebuah bot fiber yang berada berhampiran, kesemua mangsa dipindahkan ke Bot Penggalang 2 sebelum dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Langkawi.

“Kecekapan anggota di lapangan serta tindakan pantas sejurus menerima maklumat kecemasan membolehkan operasi bantuan dilaksanakan dengan cepat dan berkesan.

“Maritim Malaysia akan terus komited memastikan keselamatan komuniti maritim sentiasa terpelihara serta bersedia memberikan bantuan pada bila-bila masa diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua tujuh mangsa tiba dengan selamat di Jeti Maritim Malaysia Langkawi pada jam 10.55 pagi tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Ujarnya, operasi bantuan ditamatkan pada jam 11 pagi sebelum kedua-dua aset meneruskan rondaan di kawasan tanggungjawab.

Beliau turut menasihatkan semua pengusaha bot penumpang dan orang ramai agar sentiasa menyemak ramalan cuaca, memastikan bot berada dalam keadaan selamat sebelum belayar serta membawa kelengkapan keselamatan yang mencukupi bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast