GEORGE TOWN – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang memberi jaminan bahawa kebajikan dan keselamatan seorang remaja perempuan yang menjadi mangsa gangguan seksual serta buli siber di sebuah sekolah negeri ini akan terus diberi keutamaan.
JPN Pulau Pinang dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil perhatian terhadap insiden yang dilaporkan media itu dan kes berkenaan kini berada dalam siasatan polis.
Menurut kenyataan itu, JPN memberi kerjasama penuh kepada polis bagi membantu proses siasatan, selain menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti setiap aspek yang berkaitan dengan insiden berkenaan.
“Pada masa yang sama, tumpuan utama kita ketika ini adalah untuk melindungi pelajar yang menjadi mangsa. Intervensi sokongan psikososial sedang dilaksanakan bagi membantu mangsa yang terjejas,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, JPN tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku seksual dan perbuatan buli.
“Tindakan paling tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
GPMS gesa KPM, polis bertindak segera kes buli seksual calon SPM
Calon SPM jadi mangsa buli seksual, ibu rayu siasat segera pelaku
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa menjadi mangsa buli seksual digital selepas wajahnya digunakan dalam imej suntingan berunsur lucah yang disebarkan menerusi poster dan akaun media sosial palsu.
Remaja berusia 17 tahun itu didakwa berdepan gangguan berulang sejak April lalu apabila maklumat peribadinya termasuk nama, kelas dan nombor telefon turut disebarkan sehingga menjejaskan emosinya dan menyebabkan dia malu untuk hadir ke sekolah di daerah Seberang Perai Tengah.
Ibu mangsa yang hanya dikenali sebagai Nur, 46, turut merayu pihak berkuasa mempercepatkan siasatan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab selepas mendakwa anaknya sudah membuat tiga laporan polis berhubung kejadian itu. – MalaysiaGazette















