SHAH ALAM – Kes vandalisme dan kecurian komponen di rumah-rumah pam air di Selangor semakin meningkat sehingga menyebabkan kos pembaikan mencecah RM400,000.
Sehubungan itu, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, kerajaan negeri akan memperkukuh langkah keselamatan bagi membendung masalah tersebut menerusi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di rumah-rumah pam serta lokasi projek lampu jalan.
Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor telah diminta menyediakan kemudahan CCTV sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan kejadian vandalisme dan kecurian.
“Saya menghadapi masalah besar berkaitan isu vandalisme dan kecurian ini. Pertamanya ialah kecurian kabel di bawah projek-projek lampu jalan dan sebagainya. Keduanya ialah berkaitan rumah pam, di mana saya menerima aduan mengenai peningkatan kes vandalisme atau kecurian di rumah-rumah pam.
“Mereka menceroboh masuk dan mencuri pelbagai komponen sehingga menjejaskan operasi rumah pam tersebut,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Jefri Mejan, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Terdahulu, Jefri meminta Izham menjelaskan langkah yang diambil kerajaan negeri bagi mengatasi isu vandalisme dan kecurian komponen di rumah-rumah pam air di Selangor.
Menurut Izham, antara lokasi yang merekodkan kejadian pencerobohan rumah pam ialah di Kuala Langat, Hulu Selangor serta Fasa 1 Projek Tebatan Banjir Sungai Buloh.
Beliau berkata, kejadian-kejadian tersebut bukan sahaja mengakibatkan kerugian kewangan yang tinggi, malah turut menjejaskan kelancaran operasi rumah pam yang memainkan peranan penting dalam sistem tebatan banjir di negeri ini.
















