Pergerakan kapal di Selat Hormuz. - Foto AFP

ISTANBUL – Lapan persatuan perkapalan antarabangsa utama menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya membantah pelaksanaan tol mandatori atau caj perkhidmatan ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi.

Menerusi surat terbuka bersama yang ditujukan kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dan Setiausaha Agung Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) Arsenio Dominguez, kumpulan itu memberi amaran bahawa bayaran sedemikian akan menjejaskan kebebasan pelayaran serta memberi kesan buruk kepada ekonomi global.

Surat itu dihantar pada Isnin dan diterbitkan pada Rabu oleh Dewan Perkapalan Antarabangsa.

“Pengenaan caj mandatori bagi laluan transit atau fi perkhidmatan yang pada hakikatnya merupakan tol, walaupun dinamakan sebaliknya, di Selat Hormuz akan menyimpang secara ketara daripada amalan antarabangsa yang telah sekian lama diamalkan,” menurut surat itu.

Persatuan berkenaan memberi amaran bahawa pelaksanaan caj sedemikian boleh mewujudkan duluan bagi pelaksanaan langkah serupa di laluan air antarabangsa lain serta melemahkan rangka kerja perundangan antarabangsa yang mengawal laluan transit.

Menurut persatuan itu, kos pengangkutan maritim tambahan akan memberi kesan kepada rantaian bekalan antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada kenaikan kos perkapalan dan tenaga, inflasi serta ketidaktentuan ekonomi.

Antara pihak yang menandatangani surat itu ialah Persatuan Pemilik Kapal Asia, BIMCO (Majlis Maritim Baltik dan Antarabangsa), Cruise Lines International Association, European Shipowners, Dewan Perkapalan Antarabangsa, INTERCARGO (Persatuan Antarabangsa Pemilik Kapal Kargo Kering), INTERTANKO (Persatuan Pemilik Kapal Tangki Bebas Antarabangsa) dan Majlis Perkapalan Dunia.

Kumpulan itu turut menegaskan bahawa keselamatan pelaut dan kebebasan pelayaran tidak seharusnya dikompromi dalam rundingan mengenai keselamatan serantau dan penyelesaian konflik.

Surat itu dikeluarkan selepas Iran dan Oman mencapai persefahaman awal pada Rabu mengenai hampir semua isu berkaitan pengaturan masa depan Selat Hormuz. Timbalan Menteri Luar Iran Kazem Gharibabadi berkata persefahaman akhir kini “hampir dimuktamadkan”.

Menurut Gharibabadi dalam kenyataan yang dipetik agensi berita milik kerajaan Iran, IRNA, persefahaman itu merangkumi lokasi laluan masuk dan keluar bagi trafik maritim.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa “persefahaman itu tidak bermaksud pembukaan sepenuhnya Selat Hormuz”.

“Sebaliknya, ia merupakan model baharu yang berbeza daripada amalan sejak 60 tahun lalu,” katanya.

Majlis IMO pada Julai menyatakan bahawa laluan melalui Selat Hormuz perlu kekal bebas daripada tol dan caj selaras dengan undang-undang antarabangsa. – BERNAMA-ANADOLU

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast