KUALA LUMPUR – Selangor FC terus memperkukuhkan benteng pertahanan pasukan itu dengan membawa masuk bekas bek tengah Sunderland, Arbenit Xhemajli menjelang saingan Liga Super musim 2026/2027.
Kehadiran pemain pertahanan berusia 28 tahun itu diumumkan pengurusan Merah Kuning di semua platform rasmi pasukan itu.

Xhemajli menghabiskan majoriti kariernya di Eropah dan selain Sunderland, dia pernah beraksi untuk KF Egnatia, FC Zurich, FC Vaduz dan Neuchatel Xamax.
Sebelum menyertai Selangor, Xhemajli mewakili Egnatia sebanyak 124 kali, menjaringkan tiga gol dan mencipta empat bantuan gol.
Dia juga pernah merasai pengalaman beraksi di Eropah semasa mewakili Vaduz. Beliau merekodkan tiga penampilan di pentas Liga Konferens Europa UEFA (UECL) pada musim 2022/23.
Xhemajli menjadi pemain import terbaru Selangor selepas Eduardo Sosa, Peter Makrillos dan bek tengah Filipina, Jefferson Tabinas. – MalaysiaGazette
















