Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika di Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2026 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 02 OGOS 2026.

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor berhasrat meningkatkan jumlah penerima Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) kepada 5,000 pelajar pada tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hasrat itu dibuat susulan permohonan HPIPT pada 2025 dan tahun ini yang menunjukkan permintaan tinggi dengan lebih 5,000 permohonan diterima.

“Kita pernah memberikan sumbangan kepada 5,000 orang suatu ketika dahulu dan insya-Allah kita akan kembalikan jumlah itu pada tahun hadapan menerusi Belanjawan Selangor 2027,” katanya pada sesi soal jawab Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau berkata, seramai 3,000 pelajar menerima HPIPT pada tahun ini.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri turut mengambil perhatian terhadap tempoh permohonan HPIPT bagi memastikan pelajar mempunyai masa yang mencukupi untuk mengemukakan permohonan selepas menerima pengesahan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Selain itu, katanya, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk membuka permohonan HPIPT sebanyak dua kali setahun bagi memberi peluang lebih luas kepada pelajar yang mendaftar pengajian pada sesi kemasukan yang berbeza.

“Perkara ini akan kita teliti supaya tempoh permohonan dapat disesuaikan dengan kemasukan pelajar ke universiti serta proses pengesahan yang diperlukan,” katanya.

HPIPT merupakan bantuan berjumlah RM1,000 yang diberikan kepada pelajar Selangor yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang diiktiraf.

Bantuan itu layak dipohon oleh pelajar di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 4, diploma dan ijazah sarjana muda. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast