Ahli Perniagaan, Nicky Liow Soon Hee bercakap bersama Peguam, Datuk Rajpal Singh selepas sidang media di Four Points by Sheraton Puchong, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JULAI 2026 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menarik balik 26 pertuduhan di bawah Amla yang dihadapi Nicky Low selepas ahli perniagaan itu membayar kompaun RM10 juta, tiga tahun lalu.

Agensi itu dalam kenyataan berkata, penyelesaian itu yang dibayar pada 29 Mei 2023 juga merangkumi pelucuthakan bon berjumlah RM647,366 dan pelucuthakan harta-harta yang disita.

Susulan itu, pada 15 Jun 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam telah memerintahkan agar Nicky Liow atau nama sebenarnya Liow Soon Hee dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan.

“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa Liow Soon Hee (Nicky Liow) tidak pada bila-bila masa dilepaskan tanpa sebarang tindakan undang-undang.

“Berdasarkan keseluruhan keterangan sedia ada dan berdasarkan penilaian dan pertimbangan pendakwaan, jabatan ini bersetuju untuk menawarkan kompaun berjumlah RM10 juta.

“Jumlah tersebut telah dipersetujui oleh Nicky Liow dan telah dibayar pada 29 Mei 2023,” ujar kenyataan itu.

AGC merujuk laporan sebuah portal dua hari lalu yang menuntut penjelasan jabatan berhubung perintah melepas tanpa membebaskan (DNAA) terhadap ahli perniagaan tersebut.

Kenyataan itu selanjutnya menyatakan, Nicky Liow telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 12 April 2022 terhadap  26 pertuduhan atas kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Kes telah ditetapkan untuk perbicaraan pada tarikh-tarikh 6 dan 31 Julai 2023, 1 hingga 3 Ogos 2023, 7 hingga 10 Ogos 2023 dan 25 hingga 27 September 2023.

Nicky Liow melalui peguamnya Tetuan Rajpal, Firah & Vishnu telah mengemukakan surat-surat representasi bertarikh 15 Disember 2022 dan 6 April 2023 kepada AGC dan memohon agar kesemua 26 pertuduhan terhadapnya dikenakan kompaun di bawah Seksyen 92 Akta 613.

Surat-surat representasi yang dikemukakan oleh pihak Nicky Liow telah diteliti dan dikaji dengan terperinci.

Jabatan itu selanjutnya menjelaskan, keputusan yang diambil itu adalah selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.

la juga telah dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan keterangan daripada hasil siasatan secara keseluruhan tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam dengan mengambil kira integriti proses pendakwaan serta keperluan untuk memastikan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah.

Pada sidang media 30 Julai lalu, peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Nicky memberitahu, AGC memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan selepas menerima representasi yang dikemukakan pihak pembelaan.

Mengikut semua pertuduhan, dia dan tiga syarikat didakwa secara langsung melibatkan diri dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram dan dua pertuduhan memiliki wang hasil sama, berjumlah lebih RM36 juta.

Perbuatan itu dilakukan di Malayan Banking Berhad, cawangan Bandar Puteri Puchong dan Ampang pada 2016 hingga 2021.

Beliau berkata, Nicky juga telah melunaskan tunggakan cukai RM400,000 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menyelesaikan pertuduhan berkait Borang Nyata Cukai bawah Akta Cukai Pendapatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast