Foto PDRM FC.

KUALA LUMPUR – PDRM FC kini terpalit dengan kontroversi kewangan apabila bekas pemain importnya, Ahmad Israiwah mendakwa tidak menerima gaji selama enam bulan sebelum meninggalkan kelab itu untuk menyertai Kuching City (KCFC).

Pemain berasal dari Jordan itu mendakwa segala usaha mendapatkan penjelasan daripada pihak kelab dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menerima sebarang maklum balas.

Menerusi satu kenyataan di laman Instagramnya, Israiwah mendakwa dia tiba di Malaysia dari Jordan selepas menandatangani kontrak profesional selama 12 bulan bersama PDRM FC, namun meninggalkan kelab itu tanpa menerima bayaran gaji selama enam bulan.

“Saya datang ke Malaysia dari Jordan musim lalu dan menandatangani kontrak profesional selama 12 bulan bersama PDRM FC. Sebelum saya meninggalkan kelab untuk menyertai Kuching City, saya sudah beraksi bersama PDRM FC selama enam bulan tanpa menerima sebarang gaji.

“Saya kini dimaklumkan menerusi laporan media bahawa PDRM FC menarik diri tanpa menyelesaikan hutang tertunggak. Saya sudah cuba menghubungi pihak pengurusan kelab beberapa kali, tetapi tiada satu pun panggilan saya dijawab,” tulisnya.

Dakwaan itu muncul beberapa minggu selepas First Instance Body (FIB) Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan PDRM FC menarik diri daripada saingan Liga Super musim 2026/27 selepas badan pengendali liga itu menerima surat rasmi daripada kelab berkenaan mengenai keputusan terbabit.

Israiwah memberitahu, dia turut merayu kepada FAM, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) serta pihak berkaitan supaya campur tangan bagi memastikan semua tunggakan gaji dan tanggungjawab kontrak diselesaikan.

“Saya dengan penuh hormat memohon kepada FAM, PFAM dan semua pihak berkuasa bola sepak berkaitan di Malaysia untuk membantu berhubung dengan pihak pengurusan kelab dan memastikan semua tunggakan gaji serta tanggungjawab kontrak dibayar.

“Jika saya tidak menerima sebarang maklum balas dalam tempoh 24 jam selepas hantaran ini, saya akan membuat siaran langsung untuk berkongsi pengalaman yang dialami di PDRM FC.

“Ini adalah pengalaman paling sukar untuk saya dalam karier profesional dan saya harap perkara ini dapat diselesaikan secara adil dan profesional,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast