Kerjasama Farm Fresh Malaysia, Alpha Group Kemboja dan Pentadbiran Wilayah Pursat dan Sonavith Co Ltd dimeterai menerusi perjanjian pajakan tanah bagi membolehkan pembangunan ladang dan kemudahan pemprosesan dilaksanakan.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Farm Fresh Berhad dan Alpha Group Kemboja menjalinkan kerjasama dengan Pentadbiran Wilayah Pursat dan Sonavith Co., Ltd. apabila menandatangani perjanjian pajakan tanah untuk projek pelaburan penternakan tenusu dikenali Farm Fresh Pursat.

Projek yang berpangkalan di daerah Veal Veng dan wilayah Pursat, Kemboja itu merangkumi kira-kira 1,000 hektar dengan pelaburan sebanyak A$68 juta (RM288 juta).

Ia akan memberi tumpuan kepada penubuhan ladang tenusu bertaraf antarabangsa dan pembinaan kilang pemprosesan susu tempatan untuk mengukuhkan rantaian pengeluaran tenusu Kemboja, mengurangkan import dan meningkatkan kapasiti negara untuk membekalkan pasaran domestik dan pasaran eksport masa hadapan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Farm Fresh, Loi Tuan Ee berkata, syarikat itu gembira untuk melabur di wilayah Pursat dan mengalu-alukan insentif dan sokongan yang diberikan oleh kerajaan negara itu.

Menurutnya, kemudahan pengeluaran dan pemprosesan susu segar berskala besar pertama di Kemboja itu dijangka membantu menampung jurang susu segar domestik dan menyokong permintaan tempatan yang semakin meningkat, sambil meningkatkan profil wilayah tersebut.

“Projek penternakan tenusu bernilai A$68 juta ini bertujuan untuk meningkatkan bekalan susu segar berkualiti tinggi domestik Kemboja dan memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat selaras perjanjian pada akhir Oktober ini untuk mewujudkan kemudahan pengeluaran dan pemprosesan susu segar berskala besar pertama negara itu.

“Sebagai sebuah syarikat tenusu terkemuka di Asia Tenggara, pelaburan kami di Pursat akan membantu meningkatkan profil wilayah ini di seluruh Asia Tenggara dan di pentas global,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Loi Tuan Ee.

Pada 26 Oktober 2025, semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, Farm Fresh telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Alpha Group Kemboja untuk menubuhkan kemudahan pengeluaran dan pemprosesan susu segar berskala besar pertama di negara ini.

Sementara itu, Gabenor Wilayah Pursat, Khoy Rida berkata, pelaburan besar di Pursat itu bagi mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan dan menandakan peristiwa penting dan bersejarah bagi wilayah serta negara itu.

Sebelum ini, konflik sempadan dengan Thailand mencetuskan krisis bekalan susu dengan negara itu secara tradisinya membekalkan Kemboja dengan lebih 76 peratus daripada import tenusu negara.

Pada Julai 2025, rak pasar raya telah dikosongkan, manakala kedai kopi dan restoran bergelut untuk mendapatkan bekalan susu segar.

Kekurangan itu mempercepatkan rancangan untuk mengembangkan pengeluaran susu segar domestik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast