Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

PUTRAJAYA – Kerangka Ekonomi Madani akan terus memberi keutamaan pelaburan kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dalam sektor semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), pembuatan maju serta peralihan tenaga.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, hala tuju tersebut berpandukan dasar utama negara termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan agenda peralihan tenaga.

Menurut beliau, pendekatan itu bukan sekadar tertumpu kepada penyediaan modal, malah bertujuan meningkatkan daya saing syarikat tempatan supaya mampu berkembang ke peringkat lebih tinggi.

“Pendekatan GLC dan GLIC adalah melihat usaha yang dilaksanakan di bawah kerangka Ekonomi Madani dan ketika ini, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk usaha menarik lebih banyak pelaburan ke dalam sektor tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Laporan Kemajuan GEAR-uP 2026 iaitu laporan tahunan penuh yang pertama bagi Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir bercakap pada sidang media Laporan Tahunan GEAR-uP 2026 di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 07 OGOS 2026.

Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, Khazanah Nasional Berhad turut memainkan peranan penting dalam menarik dana serta memperkukuh ekosistem semikonduktor negara melalui dana dan program pembangunan yang bersesuaian.

“Syarikat bersaiz pertengahan mempunyai potensi besar untuk berkembang, namun sering berdepan kekangan dalam usaha meningkatkan skala perniagaan.

“Kami turut memperkenalkan Program Pertumbuhan dan Inovasi Syarikat Bersaiz Pertengahan yang memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti dan pengurusan risiko pertumbuhan.

“Program ini bukan semata-mata menyediakan modal, tetapi membantu syarikat membina keupayaan untuk berkembang dengan lebih yakin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast