Ahmad Fahmi didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini, atas lapan pertuduhan melakukan amang seksual serta mencabul kehormatan pelajar SABK di Pulau Pinang.

BUTTERWORTH – Seorang guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di negeri ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan membabitkan amang seksual fizikal dan mencabul kehormatan beberapa pelajar lelaki antara Mei 2023 hingga Januari lalu.

Tertuduh, Ahmad Fahmi Haron, 52, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Ooi Sheow Yean.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memegang dan mengusap alat kemaluan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun ketika kejadian di sebuah sekolah dalam daerah Seberang Perai Utara antara April hingga Mei 2024.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua hingga kelapan dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap tujuh pelajar lelaki berasingan yang masing-masing berusia antara 13 hingga 17 tahun ketika kejadian dengan mengusap bahagian punggung, paha, tangan dan pipi serta meraba kemaluan mangsa tanpa kerelaan mereka dengan niat mencabul kehormatan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik dan kantin sekolah sama dengan pertuduhan pertama antara Mei 2023 hingga Januari 2026.

Bagi semua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Pegawai penyiasat kes membabitkan lapan pertuduhan turut hadir ke mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam Muhd Nazreev Mohd Najeeb.

Semasa prosiding, Wan Amira Ruzaini tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas alasan pertuduhan yang dihadapinya adalah serius iaitu seksual selain semua mangsa membabitkan pelajar bawah umur.

“Bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan saya mohon tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan,” katanya.

Muhd Nazreev kemudian merayu supaya mahkamah menggunakan budi bicara bagi membenarkan anak guamnya diikat jamin kerana tiada risiko mengganggu mangsa susulan dia tidak lagi bertugas di sekolah berkenaan dan telah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara.

“Anak guam kami juga sedia dengan semua syarat tambahan dimohon pihak pendakwa selain dia yang masih bujang juga menanggung tiga anak saudaranya berstatus kurang berkemampuan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM45,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, selain mengenakan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran kediaman setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan pada 14 September depan untuk sebutan semula termasuk penyerahan dokumen berkaitan kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast