Ng Suee Lim

SHAH ALAM – KDEB Waste Management (KDEBWM) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi diesel kepada lori Roll-On Roll-Off (Roro) bagi melancarkan operasi kutipan sisa pepejal di Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, permohonan telah dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) susulan peningkatan kos operasi selepas kenaikan harga diesel.

“KDEBWM telah mengemukakan permohonan kepada kementerian agar lori Roro turut dipertimbangkan di bawah mekanisme subsidi diesel.

“Pada masa sama, kerajaan negeri juga sedang meneliti keperluan bantuan kewangan tambahan kepada KDEBWM bagi menampung sebahagian peningkatan kos operasi yang berpunca daripada kenaikan harga diesel,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri  Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze mengenai kesan kenaikan harga diesel terhadap kos operasi dan kelancaran perkhidmatan KDEBWM pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Menurut Suee Lim, perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam merupakan perkhidmatan asas yang perlu diberi keutamaan demi kesejahteraan rakyat.

Dalam masa yang sama, katanya, KDEBWM juga melaksanakan beberapa langkah penjimatan dan pengoptimuman operasi bagi mengurangkan kesan peningkatan kos penggunaan diesel.

Antara langkah yang diambil termasuk memperkemaskan laluan kutipan, mengoptimumkan penggunaan lori dan tenaga kerja, memperkukuh pemantauan penggunaan bahan api serta meningkatkan kecekapan pengurusan armada.

“Bagaimanapun, ruang penjimatan dalaman kini semakin terhad kerana perkhidmatan ini merupakan perkhidmatan asas yang perlu diteruskan setiap hari demi menjaga kebersihan dan kesihatan awam,” katanya lagi.

Sebagai rekod, KDEBWM memohon kerajaan mempertimbangkan subsidi diesel berjadual kepada 800 lori Roro miliknya susulan peningkatan kos operasi yang kini mencecah hampir RM5 juta sebulan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast