KUALA LUMPUR — Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Datuk Aiman Athirah Sabu menghormati keputusan Nurul Izzah Anwar melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) meskipun mengakui keputusan itu berat untuk diterima.
Aiman Athirah yang juga Ketua Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, keputusan berkenaan bukan sesuatu yang mudah khususnya kepada kepimpinan wanita yang banyak menghargai sumbangan Nurul Izzah dalam memperkukuhkan suara wanita serta memperjuangkan agenda reformasi.
“Sebagai sahabat seperjuangan, sudah tentu keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah, khususnya kepada kepimpinan wanita.
“Kehadiran Nurul Izzah dalam saf kepimpinan KEADILAN dan HARAPAN, khususnya dalam memperkukuhkan suara wanita, membawa semangat reformasi dan menggerakkan perjuangan Pakatan Harapan, amat dihargai dan sangat dirasai kehilangannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Bagaimanapun beliau berkata, setiap individu mempunyai fasa serta pertimbangan tersendiri dalam meneruskan khidmat dan sumbangan kepada masyarakat.
Menurutnya, keputusan yang dibuat Nurul Izzah selepas melalui pertimbangan panjang itu perlu dihormati.
“Kita mendoakan agar setiap langkah yang diambil oleh Nurul Izzah Anwar dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya.
Dalam pada itu, Aiman Athirah merakamkan penghargaan dan ucapan syabas kepada Nurul Izzah atas komitmen, kesetiaan serta pengorbanannya kepada perjuangan KEADILAN dan PH.
Katanya, sumbangan Nurul Izzah dalam membina keyakinan rakyat terhadap agenda perubahan, memperjuangkan nilai keadilan serta membawa suara generasi baharu merupakan khidmat yang amat besar ertinya.
“Walaupun tidak lagi memegang jawatan dalam kepimpinan parti, saya yakin semangat perjuangan dan kecintaan beliau kepada negara akan terus menjadi inspirasi.
“Perjuangan membina Malaysia yang lebih baik memerlukan sumbangan daripada pelbagai medan dan ruang,’ katanya.
Aiman Athirah turut mendoakan agar Nurul Izzah diberikan kekuatan, kesihatan dan kejayaan dalam meneruskan perjalanan baharunya.
Beliau yakin pengalaman, ilmu dan kekuatan yang dikumpulkan Nurul Izzah sepanjang perjuangannya akan membolehkan beliau kembali menyumbang dengan nafas serta kekuatan baharu pada masa hadapan. – MalaysiaGazette
















