KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan menangguhkan prosiding pertuduhan dan pengambilan pengakuan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas dimaklumkan sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Mahkamah dimaklumkan tertuduh juga dijadual menjalani satu prosedur perubatan petang ini dan disahkan oleh IJN.
Keputusan itu dibuat Hakim Suzana Hussin selepas mendengar permohonan pihak pembelaan, manakala pihak pendakwaan memaklumkan tidak membantah penangguhan tersebut atas dasar kemanusiaan.
Terdahulu, prosiding dimulakan dengan pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pertuduhan terhadap Ismail Sabri telah difailkan berserta lampiran yang merupakan sebahagian daripada pertuduhan.
Salinan pertuduhan itu juga telah diserahkan kepada pihak pembelaan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memaklumkan tertuduh tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini sebelum pihak pembelaan menjelaskan keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri itu.
Mahkamah dimaklumkan Ismail Sabri mula mengalami masalah kesihatan ketika berada di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi urusan berkaitan siasatan.
Ketika itu, beliau ditemani peguamnya sebelum pihak SPRM dimaklumkan mengenai keadaan tersebut dan beliau dikejarkan ke IJN untuk mendapatkan rawatan pada petang yang sama.
Menurut pihak pembelaan, selepas dimasukkan ke IJN, mereka memperoleh pengesahan daripada doktor yang merawat mengenai keadaan kesihatan Ismail Sabri.
Mahkamah turut dimaklumkan pihak pembelaan menghubungi anak guam mereka sekali lagi pagi ini dan diberitahu Ismail Sabri dijadual menjalani satu prosedur perubatan pada pukul 2 petang.
Pihak pembelaan berkata, berdasarkan maklumat daripada IJN, Ahli Parlimen Bera itu dijangka perlu ditempatkan di wad selama beberapa hari selepas prosedur berkenaan bagi membolehkan pemantauan lanjut dilakukan.
Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon supaya prosiding pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan ditangguhkan ke satu tarikh lain memandangkan keadaan kesihatan anak guam tidak mengizinkan beliau hadir ke mahkamah.
Pihak pendakwaan bagaimanapun memaklumkan tidak membantah permohonan itu atas dasar kemanusiaan dan bersetuju tarikh baharu ditetapkan selepas dibenarkan keluar dari hospital serta bersedia untuk hadir ke mahkamah.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Suzana membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 27 Ogos ini pada pukul 9 pagi bagi prosiding pembacaan pertuduhan serta pengambilan pengakuan.
Terdahulu, Ismail Sabri dijadualkan didakwa hari ini atas pertuduhan mengikut Akta SPRM yang dipercayai berkaitan siasatan terhadap pengisytiharan hartanya.
Sebelum ini, Ismail Sabri itu telah beberapa kali hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung siasatan tersebut yang turut melibatkan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana bagi tujuan promosi dan publisiti ketika beliau menerajui pentadbiran negara. – MalaysiaGazette
















